Wednesday, June 16, 2010

Zarah Ilusi

ZARAH ILUSI
©Miss Zircon

PENERBANGAN telah melewati di atas Lautan Atlantik. Biru. Dari jauh pantulan cahaya yang amat menyilaukan mencuri masuk ke ruang hadapan melalui kaca komposit delima. Amat memedihkan mata. Bukaan kelopak mata kuyu Sir Fedler Harami disempitkan. Bertambah kuyu. Terserlah wajah kacukan Jepun-Perancis yang sudah melewati usia 40-an itu. Beberapa garisan jalur melintang seakan-akan bercantum namun tidak selari. Dahinya berkerut. Segera sebentuk kaca mata hitam ilusi koordinat yang sedia terpasang bersama fonkepala dijatuhkan menghijab kesilauan yang membolos garang.

“Kita hampir tiba ke titik koordinat sifar! Kelajuan akan ditambah melawan daya graviti! Hanya beberapa detik daripada kiraan tujuh minit.” Sir Fedler Harami sebagai juruterbang bertauliah melaporkan kedudukan mereka. Suatu pengalaman baru bakal ditempa. Sangat berharga. Tidak ada dijual di mana-mana.

Tujuh orang semuanya termasuk seorang juruterbang yang hebat di mata jutaan warga Kota Wexire. Kedudukan kerusi anak kapal masing-masing amat sistematik seiring dengan jenis tanggungjawab yang dijunjung berat. Mereka semua berada pada kedudukan seperti dalam kapal angkasa yang bulat. Masing-masing membelakangi yang lain dan mereka boleh mengubah kedudukan dengan hanya menekan butang samada ke arah utara, selatan, timur mahupun barat mengikut kesesuaian kecuali juruterbang dan kapten misi. Ruang itu diberi nama makmal kawalan misi. Terletak pada kedudukan di tengah-tengah badan jet Gagak Hitam SB1 (Segitiga Bermuda 1). Terpisah daripada tempat khas Sir Fedler Harami. Ruang khas Dr. Borhan Arshad sebagai kapten misi pula berada pada kedudukan di antara kabin juruterbang dan makmal kawalan misi. Bererti Dr. Borhan Arshad boleh menyaksikan ke dua-duanya sekali bertugas.

“Mulakan sistem peralihan bentuk kapal selam!” Arahan daripada Dr. Borhan Arshad sebagai kapten misi mengganggu perasaan lima anak kapal yang lain tak terkecuali Sir Hendra Sahak. Masing-masing diserang rasa gugup. Hemoglobin menular laju menusuk ruang dituju. Rasa tidak tenteram menerkam.



“Arahan diterima. Matlamat jelas tidak mengelirukan. Faham. Bertindak mengikut arahan Tuan Kapten!” Sir Hendra Sahak segera menyahut dengan ayat klise bagi Gagak Hitam dan suaranya dialirkan secara langsung melalui mikrofon yang pastinya akan tersebar kepada semua anggota yang lain. Sistem struktur jet akan bertukar bentuk kepada struktur kapal selam hanya dalam kiraan lima belas saat. Gegaran kuat dapat dirasai oleh anak-anak kapal. Masing-masing tidak stabil walaupun duduk pada kerusi yang telah dipasang alat tali pinggang keledar yang kemas. Hampir loya.

“Bongkokkan badan! Kiraan 65 darjah!” Dr. Borhan Arshad memberi arahan kepada anak kapalnya. Ia bertujuan mengurangkan daya graviti untuk kestabilan badan yang maksima. Kelihatan jelas pergerakan peralihan struktur dengan kuasa teknologi yang tinggi yang pantas pada skrin di tempat duduk masing-masing. Menakjubkan. Hanya bahagian bentuk dalam yang tidak berubah. Dari luar jet Gagak Hitam SB1 sudah bertukar wajah kapal selam namun masih boleh terbang sebelum mencecah ke titik koordinat sifar untuk menjunam ke dasar laut.

“Lengkap! Peralihan struktur kapal selam sempurna. Perlukan arahan seterusnya.” Sir Hendra Sahak melaporkan kejayaan tugasnya. Senyuman kepuasan dan anggukan kemegahan sengaja dicipta. Berlagak.

“Tahniah Sir Hendra! Sampaikan maklumat ke pangkalan data Gagak Hitam! Dr. John David mainkan peranan!” Arahan seterusnya menyusul dengan nada yang pantas dan tegas.

Giliran Dr. John David sebagai pakar juruteknik sistem tiba. “Arahan diterima. Matlamat jelas tidak mengelirukan. Faham. Bertindak mengikut arahan Tuan Kapten!” Segera jemarinya menekan skrin sesentuh didepannya yang bersudut 40 darjah untuk menghantar laporan maklumat kejayaan peralihan struktur.

“Fasa pertama peralihan struktur kapal selam berjaya. Kami menghampiri koordinat sifar. Anggota misi dalam keadaan selamat.” Satu catatan ringkas tertera. Arahan Hantar pada skrin itu segera disentuh jari telunjuk kanannya. Perkataan seterusnya tampil.

“Dokumen diproses.” Beberapa detik dinanti. Tiada maklum balas daripada sistem. Dr. John David sempat menelan air liurnya. Terasa payah untuk menelan bagai ada sesuatu yang menghalang. Lampu merah tiba-tiba menyala-nyala pada papan sistem. Skrin sesentuh memberontak. Ada sesuatu yang tak kena. Perkataan yang amat menggerunkan menjelma “Penghantaran dokumen gagal.” Matanya membutang. Bulat. Mulutnya terlopong. Hodoh.

Dr. Borhan Arshad masih menanti laporan penghantaran maklumat Dr. John David. Curiga bertakhta.

“Dr. John David. Laporkan dengan segera!” Bergema arahan itu ke seluruh deria pendengaran anggota misi. Bagaikan mati kutu, Dr. John David masih membisu.

“Kita memasuki titik koordinat sifar, sistem kompas tak berfungsi, kawalan huru hara dan.....” Suara Sir Fedler Harami yang cemas pula mencelah tiba-tiba namun lenyap begitu sahaja. Kesilauan yang melampau. Kapal selam itu berpusing laju pada putaran orbit tak menentu. Bagaikan diterjang putaran angin puting beliung. Ganas. Akhirnya lenyap daripada zahir pandangan kasar. Sekelip kerdipan mata. Maya. Ghaib begitu sahaja. Tak guna!

YANG terzahir jelas hanyalah ayat “Sistem gagal menerima sebarang maklumat” pada skrin besar makmal pangkalan data khas Gagak Hitam di daratan. Puluhan mata yang menyaksikan bungkam.

“Kita terputus laluan maklumat!” Dr. Habib menjerit menggegarkan puluhan warga Gagak Hitam lain yang masih membatu kaget. Sedetik tersentak barulah keadaan menjadi hiruk pikuk.

“Macam mana boleh terputus!”

“Tak sepatutnya ia berlaku!”

“Mustahil terjadi! Sistem kita cukup canggih!” Hanya beberapa perkataan seperti ini yang jelas didengari Profesor Quexz selebihnya tidak mampu ditapis lagi oleh telinganya. Bising.

Profesor Quexz mengetapkan bibirnya. Jemarinya membengkok ke dalam tapak tangan. Tergumpal kemas. Ada getar. Ada gegar. Ada aura. Panas gumpalan itu. Tiada kata yang sudi terluah. Buntu. Seakan mencabar maruahnya.

“Aku tak percaya!”

KIRAAN masa enam bulan bukanlah satu jangka masa yang singkat. Apatah lagi disertai dengan penantian dan pengharapan dalam ketidakpastian. Kesamaran yang nyata. Kalau ditanam jagung sudah berbuah. Kalau dibela ayam sudah bertelur. Kalau dibela kucing mungkin sudah beranak. Namun pada Gagak Hitam masih belum mendapat apa-apa petanda.
Mungkinkah misi itu sudah menempah kecewa di sana? Atau mungkin sudah meragut nyawa? Tidak ada sesiapa pun yang memiliki jawapan untuk itu. Tidak ada yang berani membuat spekulasi. Masing-masing nekad menanti. Menanti dan terus menanti.

Ada yang hampir tewas menyerah kalah. Ada yang masih was-was. Ada yang semakin cemas. Ada yang sudah ditumbuhi gelisah dalam benih pasrah yang parah.

“Meeting, eksperimen, meeting, eksperimen! Macam dah tak ada kerja lain ke kat dunia ni? Aku dah bosan! Satu habuk pun tak berhasil! Dah la radioaktif tu bahaya! Profesor Quexz dah gila!” Gertak Ryan. Hatinya cukup memberontak. Memang tiap-tiap hari mereka bertungkus lumus menghasilkan alat untuk mengesan nadi menggunakan sinar radioaktif di makmal eksperimen radiasi ilham Profesor Quexz. Tujuannya untuk mengesan ke semua anggota Gagak Hitam yang hingga kini masih belum ada khabar berita. Di antara yang bekerja keras adalah Ryan dan Vills sendiri termasuklah dengan bantuan beberapa anggota Gagak Hitam yang lain. Ryan dan Vills masing-masing pakar dalam sains kimia aktif. Setiap hari mereka akan dipantau oleh Kepala Gagak Hitam iaitu Profesor Quexz bagi menjamin mutu kerja.

Vills memamah laju roti beralas daging berselang keju itu. Panjang tengkuknya menelan cebisan gigitan yang sedikit besar. Halkumnya tertolak dan menonjol ke depan. Sebesar anak batu kerikil di kaki bukit. Segera tangannya mencapai segelas air suam yang sudah bertukar menjadi molekul-molekul yang kecil dalam gelas yang diperbuat daripada titanium lalu dituangkan ke dalam mulut yang majoriti gigi barisan hadapan dikoloni oleh gigi kapak.

Vills hanya memerhatikan sahaja telatah sahabatnya itu. Tanpa sebaris kata dia merenung tajam ke dalam anak mata insan yang semakin mahu mengalah itu. Rautnya tidak menayangkan kemesraan. Wajahnya serius. Dua pasang kornea mata bertembung. Satu aliran interaksi bahasa hati tercetus. Ada virus geram menular dan merebak dalam bebuluh darah Vills. Kalau tidak difikirkan orang sekeliling, rasanya dah lama bonjolan baru muncul di dahi Ryan.

“Kau dah lupa janji kita?” Vills cuba mengembalikan Ryan ke alam nyata.

“Kau dah tak mahu mencuba? Kau dah mengaku tewas? Atau kau dah jadi bodoh!” Nada yang sengaja ditinggikan. Soalan yang menjadikan Ryan terdiam. Soalan yang menjanjikan kelukaan. Ryan tersedar. Rupanya dia telah mengguris hati dan perasaan Vills. Bungkam. Kelu. Sesungguhnya Ryan tidak pernah melupakan janjinya pada abang angkatnya. Cuma kadangkala jiwanya tertekan menyebabkan janjinya hampir padam. Mujur ada Vills yang masih cekal.

Vills kini sudah berdiri dengan menghunus pandangan yang sangat garang tepat kepada Ryan. Tajam.

“Aku tahu kau dah lupakan Abang Gman. Kau tak nak berusaha selamatkan Abang Gman lagi. Kalau itu yang kau inginkan Ryan, aku tak boleh paksa kau dan aku tak nak paksa kau. Aku tak akan paksa kau!” Tiba-tiba kemarahan Vills tidak mampu dibendung lagi. Tanpa menoleh dia menapak laju. Puluhan mata yang sama-sama menikmati makanan tengahari di kafe Gagak Hitam itu terpukau ke arah mereka. Tidak ada sesiapa yang berani mendekati mereka. Ryan masih terkejut.

Siren amaran mesyuarat tergempar bergema. Masing-masing segera menyarungkan jaket rasmi Gagak Hitam sebagai pakaian seragam mereka. Berbondong-bondong makhluk berjaket hitam berlogokan seekor gagak hitam yang sedang menebarkan ke dua-dua belah kepaknya dalam bulatan berwarna putih bergegas ke dewan mesyuarat bersama pertanyaan masing-masing. Ada sesuatu yang penting akan disampaikan. Mungkin! Atau mereka bakal menerima arahan terbaru daripada pihak atasan. Mungkin juga.

Ryan masih melabuhkan punggungnya pada kerusi empuk di makmal pangkalan data awam itu sambil memerhatikan skrin besar di hadapannya dengan pandangan yang hambar. Kata-kata Vills sewaktu makan tengahari tadi masih lagi terngiang-ngiang. Kata-kata Vills yang berbisa ada benarnya dan dia tidak menyalahkan Vills seratus peratus. Salahnya juga yang hampir berputus asa.

Dalam masa beberapa saat sahaja makmal pangkalan data umum itu lengang. Puluhan anggota lain sudah menuju ke dewan mesyuarat ataupun juga dipanggil makmal pangkalan data khusus. Bilik ini dilengkapi dengan skrin paparan maklumat khusus selain daripada ruang yang besar untuk persidangan. Tujuannya selain diadakan mesyuarat paparan data boleh ditontoni terus oleh warga Gagak Hitam.

Vills turut dihujani rasa bersalah. Tidak sepatutnya dia berkasar dengan Ryan. Sepatutnya kata-kata semangat dan dorongan yang perlu dilontarkan bukannya api kemarahan atau pemerlian yang membakar. Sejak daripada peristiwa berkasar bahasa tadi mereka masih belum bertegur sapa.

Vills yang kalut mengenakan jaket rasmi sempat berpaling kepada Ryan sebelum menyusun jejak meninggalkan makmal itu. Ryan masih begitu. Memandang kosong pada skrin yang terbentang luas di hadapannya. Tidak sampai hati rasanya meninggalkan Ryan sendirian dan akhirnya dikenakan hukuman kerana lewat ke bilik mesyuarat.

“Ryan cepat!” Terkeluar juga dua patah perkataan sebelum dia menghampiri pintu keluar makmal itu. Ryan tidak mengendahkan jeritan itu. Vills tak mahu membuang masa. Padanya sedetik terbuang sejuta penyesalan menjadi gadaian. Dia berpatah balik beberapa langkah, sebelah tangan kanannya segera mencapai dan menarik tangan Ryan dan sebelah tangan kirinya sempat menyentap jaket hitam pada kerusi Ryan.

Disiplin tetap disiplin. Bertindak mengikut arahan pemimpin! Itulah prinsip hidup yang perlu ada pada Vills dan sesiapa sahaja yang berkhidmat dan bernaung di bawah kepak Gagak Hitam. By hook or by crook. Tiada pengecualian. Ryan akur.

Kawasan dan sudut dari segi geografi dan ruang atmosfera tempat yang menjadi bahan ekperimen mereka telah dikenalpasti dengan terperinci. Laser ilusi milik Gagak Hitam bersama bantuan gelombang nano bunyi yang dicipta Profesor Quexz atau lebih dikenali nama jolokan Kepala Gagak Hitam berjaya memaparkan garisan sebenar ruang lingkup kawasan maut itu. Jika dahulu kawasan itu pernah tersohor dengan nama Segitiga Bermuda namun kini mereka lebih mengenali kawasan itu sebagai Black Horror.

Profesor Quexz percaya adanya kehidupan lain di sana yang menawan anggota perwira Gagak Hitam. Mungkin jika andaian itu benar, layak kiranya ia dipanggil sebagai lanun Segitiga Bermuda atau Pirates of Black Horror.

Selama enam bulan sistem pangkalan data di makmal Gagak Hitam hanya mampu menerima tindak balas daripada laser ilusi dan gelombang nano bunyi sahaja. Data yang diterima sekadar dapat mengesan secara terperinci garisan sebenar ruang lingkup kawasan maut itu sahaja bukannya maklumat tentang jet Gagak Hitam SB1 mahupun anggota perwira mereka yang hilang.

Akhirnya solar nano berjaya juga menghantar isyarat pengesanan zarah kapal selam Gagak Hitam SB1 walaupun dalam peratusan yang amat rendah setelah jurang enam bulan menjadi pemisah. Gelombang solar nano kembali memberi harapan kepada Profesor Quexz juga kepada seluruh anggota cendekiawan Gagak Hitam. Berpaksikan hujah ini Profesor Quexz nekad mahu meneruskan misi ke dua untuk menyelamat. Benar. Hanya satu misi yang mahu digapai. Mahu mengembalikan nyawa yang kiranya masih ada yang selamat. Seramai tujuh nyawa angkatan perwira Gagak Hitam perlu diselamatkan.

Seluruh kawasan Pusat Kajian Gagak Hitam Wexire itu sana sini dipasang dan dilengkapi dengan skrin digital sejak empat bulan yang lalu. Skrin digital sebesar dua meter persegi menayangkan wajah-wajah perwira Gagak Hitam yang hilang dalam misi pertama ke Black Horror. Bermakna setelah dua bulan kejadian petaka itu berlaku. Gambar yang tertera silih berganti sebanyak tujuh kali dalam satu-satu masa bersama paparan nama mereka. Ini bertujuan bagi menaikkan semangat anggota para saintis lain untuk ke misi menyelamatkan mereka.

Di antara mereka yang hilang dalam misi pertama mengkaji dimensi Black Horror dari aspek sains dan ilusi maya termasuklah pakar juruteknik sistem yang diwakili Dr. John David, pakar juruteknik kapal yang diwakili oleh Sir Hendra Sahak, saintis unsur magik iaitu Dr. Sajj Mann, saintis unsur fizik diwakili oleh Dr. Gman, juruterbang jet di pandu Sir Fedler, pakar geografi dikelola Sir Norton dan ketua misi Black Horror iaitu Dr. Borhan Arshad. Setiap kali menatap skrin digital itu, semangat Vills berkobar-kobar. Semangatnya sepanas gunung berapi yang baru meletus dan melenyapkan segala nafas keraguan. Itulah kuasa motivasi dalaman yang mendorong dirinya untuk terus kuat. Dia sebenarnya merindui abangnya. Dia tidak tahu nasib yang bakal ditanggung oleh Abang Gman.

“Laporan terbaru yang kita terima daripada sistem solar nano dengan bantuan pantulan laser ilusi menunjukkan zarah kapal selam Gagak Hitam SB1 sudah dapat dikesan. Kita berbangga kerana fasa pertama misi iaitu peralihan struktur kepada kapal selam berjaya berdasarkan maklumat diterima oleh bantuan pantulan laser ilusi walaupun kita tidak menerima sendiri daripada Dr. John David. Ini merupakan petanda yang baik. Walaupun kita dapat mengumpul data di mana tempat zarah kapal selam Gagak Hitam SB1 berada, namun kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. Ianya seperti ilusi yang pasti. Kita akan segera menyiapkan alat pengesan nadi sinar radioaktif secepat mungkin! Dengan adanya pengesan nadi sinar radioaktif kita dapat mengenalpasti anggota yang masih selamat!” Kata-kata dari Profesor Quexz menyebabkan ratusan anggota cendekiawan Gagak Hitam memasang angan yang semakin kukuh walaupun masih samar dan kabur. Vills dan Ryan berpandangan seketika. Segera Vills melarikan anak matanya ke tempat lain.

Ada yang tersenyum. Ada yang terharu. Ada yang masih mengganggap berita itu sebagai mimpi. Ada yang masih sangsi. Namun semuanya memberi makna yang satu. Bererti peluang untuk menyelamatkan mereka yang hilang masih ada cuma kesanggupan yang bakal menentukan nasib mereka bertujuh. Vills memanjatkan syukur di dalam hati. Matanya tidak semena-mena bergenang. Vills yang perasan dirinya masih diperhatikan Ryan segera menyeka air matanya. Ryan yang duduk di sebelah Vills tersentuh melihatkan keadaan Vills. Dia sedar, perasaan cinta dan sayang terhadap abang kandung darah daging sendiri amat dahsyat. Sedahsyat panahan kilat mungkin. Ryan membuat andaian dan kesimpulan awal. Padanya juga begitu. Walaupun Gman dianggap sebagai abang angkat, malah di sudut hatinya yang tulus jauh daripada itu. Dia sayangkan Abang Gman sepertimana Vills menyayangi Abang Gman. Cuma yang membezakannya status sahaja. Gman adalah abang kandung Vills. Bermakna Ryan hanya menumpang kasih abang Vills sahaja.

DUA minggu berlalu begitu pantas. Akhirnya penciptaan alat pengesan nadi siap sepenuhnya dan selamat dilancarkan bersama satelit di angkasa. Namun Ryan dan Vills masih tidak bertegur sapa dengan mesra. Masing-masing lebih suka mendiamkan diri. Bercakap hanya perkara yang penting sahaja. Tiada kemesraan seperti dulu lagi. Siren amaran mesyuarat tergempar sekali lagi berdering. Seluruh aggota Gagak Hitam sekali lagi bersidang.

“Apa yang amat mengejutkan kita adalah pantulan nadi sinar radioaktif yang baru dicipta menghasilkan kesannya. Kita mendapat respon yang positif. Pantulan nadi sinar radioaktif telah menghantar maklumat mengenai pengesanan nadi manusia di sana. Jelas dan memang jelas menunjukkan anggota Gagak Hitam masih selamat. Cuma objeknya masih belum dapat ditentukan. Kita akan melancarkan misi menyelamat secepat mungkin. Sukarelawan dikehendaki!” Kata-kata Profesor Quexz bagaikan tarikan magnet yang menyebabkan perasaan Vills tersentuh. Ingatannya kembali kepada Abang Gman pada saat-saat terakhir detik perpisahan. Sekali lagi matanya bertakung dengan air jernih kerinduan yang teramat.

Sebuah jet Gagak Hitam SB1 yang serba canggih dilengkapi pelbagai sistem moden siap sepenuhnya. Ujian demi ujian diadakan hari ke hari selama tiga bulan bagi memastikan semua sistem berjalan lancar termasuklah sistem kawalan solar, gelombang nano bunyi dan pelbagai sistem teknologi baru yang terkini. Semua sistem ini diharapkan dapat berfungsi sebaiknya apabila tiba hari pelepasan untuk misi mengkaji dimensi Black Horror dari aspek sains dan ilusi maya atau lebih ringkasnya diberi nama Misi Zarah Ilusi.

Kesemua tujuh anggota yang terpilih juga telah menjalani beberapa sesi latihan, modul berperingkat dan motivasi bagi membolehkan mereka mempunyai stamina yang kuat dan emosi yang stabil bagi menjayakan misi yang dirancang akan mengambil masa dua bulan di dasar laut berbahaya itu.

Jet Gagak Hitam SB1 telah direka khas bagi membolehkannya melawan daya tarikan magnet pada pusat lautan yang kuat. Ia juga dilengkapi dengan kuasa balikan cahaya bagi memantulkan sistem solar nano ke pusat pangkalan data makmal Gagak Hitam bagi memastikan keselamatan dalam kawalan. Yang uniknya jet Gagak Hitam SB1 akan bertukar menjadi kapal selam setelah tiba pada koordinat ilusi atau lebih dikenali koordinat sifar di tengah-tengah pusat magnet bumi atau dipanggil Segitiga Bermuda itu.

“Abang yakin abang akan pulang dengan maklumat yang berguna untuk masyarakat dunia. Abang takkan sia-siakan harapan manusia. Abang nak bawa penemuan baru tentang apa sebenarnya Segitiga Bermuda itu. Bukannya ramalan mahupun dogengan seperti yang diwar-warkan berabad-abad lamanya.” Begitu teguh pendirian Gman.

“Tapi....” Lidah yang petah bercakap sebentar tadi tiba-tiba hilang kekuatan. Vills dan Ryan saling berpandangan.

“Masa penerbangan hampir tiba. Sila bersiap sedia!” Suara arahan Profesor Quexz berlegar-legar di ruang angkasa. Vills dan Ryan akur. Mereka segera meninggalkan lapangan terbang jet itu menuju ke balai kawalan.

“Tapi ingat, andai abang tidak pulang, bermakna abang menunggu kehadiran kamu di sana!” Gman melaungkan kata-katanya yang terakhir di atas anak tangga jet dan melambai-lambai kepada Vills dan Ryan yang semakin jauh meninggalkan lapangan penerbangan itu.

“Janji.....” Serentak. Vills dan Ryan sempat menoleh sambil berlari-lari menuju ke balai kawalan penerbangan. Di sana puluhan anggota Gagak Hitam dalam bilik kawalan penerbangan bersama ribuan warga Kota Wexire di lapangan terbang Wexire itu sedang menunggu detik kiraan untuk meluncur di udara. Tayangan perdana juga turut diadakan di pusat Bandaraya Wexire itu secara langsung. Detik bersejarah itu akan ditontoni dan disaksikan oleh jutaan warga Wexire. Matlamatnya hanya satu mahu membongkar rahsia Segitiga Bermuda.

“Saya sanggup Prof!” Lamunan Vills tersekat. Dia tersentak. Matanya melilau-lilau mencari arah suara itu. Rupanya suara itu datang dari arah belakangnya. Pandangannya memusat ke wajah Ryan. Ryan begitu bersungguh-sungguh menyatakan kesanggupan. Dia tidak menyedari bahawa Ryan berada di meja belakangnya. Ratusan pasang anak mata menumpu ke arahnya.

“Saya pun sanggup Prof!” Vills pula yang bersuara keras. Vills dan Ryan masih berpandangan. Tanpa disedari gugur juga beberapa titis manik jernih ke pipinya. Vills segera menyeka. Senyuman terukir akhirnya. Mereka berdiri dan berpelukan. Luntur segala salah faham. Tepukan gemuruh mengharu birukan suasana syahdu.

Sesi pemantapan stamina akan diadakan selama tiga bulan. Nama-nama yang tersenarai untuk ke misi menyelamat wajib menjalani sesi itu. Pelbagai aktiviti dilakukan. Kelengkapan jet Gagak Hitam SM2 juga telah siap sepenuhnya.

“Kau tak apa-apa?” Vills menepuk bahu Ryan yang masih tercungap-cungap dari belakang. Dia kehairanan melihat kulit Vills yang kemerahan setelah selesai menjalani sesi larian sejauh lima kilometer.

“Aku okay je. Cuma panas sangat. Habis kulit aku terbakar.” Vills menunjukkan tangannya yang juga kemerahan. Mereka beriringan menuju ke tempat rehat.

“Alah, mengalahkan Puteri Lilin, mengadalah kau.” Ryan sempat berseloroh. Mereka sama-sama ketawa. Sesi latihan mereka masih berbaki dua bulan.

“Bagus juga ya latihan macam ni. Kurang sikit lemak-lemak aku.” Vills menyedari perubahan drastik pada dirinya. Berat badannya semakin susut gara-gara latihan stamina itu. Ryan turut mengakui kebenaran kata-kata Vills. Mereka ketawa lagi.

Pada Ryan tiga bulan yang berlalu begitu pantas. Bermakna sesi latihan sudah tamat. Terlalu banyak peristiwa dan kenangan yang amat pahit dilalui bersama Vills. Sungguh semuanya tidak terduga sama sekali. Ryan mencekalkan hati. Saat dan detik yang dinanti-nantikan bakal tiba sebentar lagi. Seramai empat puluh orang akan dihantar untuk misi menyelamat ke Segitiga Bermuda menaiki empat jet Gagak Hitam SB2 yang mempunyai kecanggihan berganda daripada jet Gagak Hitam SB1 sebelumnya. Ryan telah bersiap sedia di tempat duduknya menunggu kiraan detik untuk penerbangan. Ryan membuka sehelai kertas yang dilipat kemas yang diambil dari poket jaketnya pemberian Profesor Quexz sebelum dia menjejaki kaki ke dalam badan jet Gagak Hitam SB2 tadi.

Sejuta semangat yang lalu telah lenyai. Lesap. Kekuatan bertukar kelemahan. Aku tak mampu mengembalikan detik itu. Kau harus tahu dan aku harap kau telah pun tahu. Bukan maksudku. Bukan kehendakku. Tapi itu yang terjadi tanpa relaku. Tanpa mahuku. Maafkan aku. Tak mampu aku mengotakan janjiku. Sesungguhnya aku berbangga memiliki teman sepertimu. Yang masih tabah walau dulu pernah goyah. Aku yang malu pada diri sendiri. Aku malu padamu Ryan. Tak mampu aku buktikan padamu. Akhirnya aku jadi begini. Aku serahkan semangatku yang dulu padamu. Kau jagalah semangat itu bagai nyawa sendiri. Aku mengharapkan kejayaanmu. Aku menanti kepulanganmu. Aku mengimpikan kepulangan Abang Gman. Aku mendoakan keselamatan untukmu, untuk Abang Gman dan untuk kesemua pahlawan Gagak Hitam yang sanggup berkorban. Maafkan aku Ryan kerana tidak ada di sisimu saat ini. Bawa pulang Abang Gman untukku. Aku terlalu rindukan Abang Gman.
Aku Vills...

“Kau..kau akan bawa...bawa Abang Gman kan?” Vills bersusah payah cuba menuturkan ayat satu persatu. Suaranya lemah dan perlahan. Ryan tak mampu menjawab. Terlalu hiba. Dia tak mampu menuturkan walau sebaris kata untuk Vills. Matanya juga bergenang. Kelat terasa menelan air liur sendiri menahan sebak.

“Ryan....kenapa...kenapa...kau diam?” Vills masih mahukan kepastian. Dia terbaring lesu di atas tilam putih hak milik Hospital Besar Wexire. Tidak sanggup melihat begitu keadaan Vills, Ryan memeluk erat Vills. Tersedu sedan dia menahan kedukaan yang melampau. Dia tak mahu kehilangan Vills. Vills sahabatnya yang sejati. Vills turut menangis dalam pelukan sahabatnya.

“Aku janji...aku janji..aku janji Vills..aku akan bawa pulang Abang Gman. Aku janji..aku janji....” Ryan menuturkan penuh keikhlasan. Air matanya tidak mahu berhenti berderai dan berkecai. Dia menggenggam kemas tangan Vills.

“Kau...kau jaga Abang Gman nanti seperti mana Abang Gman jaga kita dulu.”

“Aku janji Vills..aku janji pada kau.” Vills tersenyum mendengar pengakuan Ryan. Dia memejamkan matanya rapat-rapat. Akhirnya Vills menghela nafasnya yang terakhir di pangkuan Ryan setelah dua bulan menderitai penyakit kanser kulit kesan pendedahan sinar radioaktif untuk menghasilkan pengesan nadi. Tidak disangkanya gurauan kulit terbakar kesan panas matahari dan perubahan berat badan sebagai petanda awal Vills diserang penyakit itu. Begitu pengorbanan Vills terhadap Abang Gman yang pada akhirnya dia sendiri yang terkorban. Ryan menangis memahu-mahunya. Tak mahu rasanya dilepaskan Vills pergi. Siapa lagi yang sudi memenuhi ruang di celahan hari hidupnya?

“Sila bersiap sedia.” Arahan yang kedengaran melalui fonkepala yang dipakainya menghentikan lamunan yang tragis itu.

Hari ini genap seminggu Vills meninggalkan bumi. Tangisan Ryan tak mampu mengembalikan yang telah tiada. Wajah Vills yang kaku masih diruang mata hatinya. Bertemankan suntikan semangat yang berkobar-kobar pemberian Vills, bersulam deraian air mata yang tak mampu lagi ditahan, Ryan akan mengotakan janjinya dan janji yang tak sempat Vills tunaikan. Hari ini dia akan ke sana mencari Abang Gman. Ryan melipat kembali kertas coretan terakhir Vills bersama lipatan kenangan.

“Kau jangan menangis. Kat sini semua orang baik-baik. Abang aku pun baik juga.”
Ryan masih menangis di atas katilnya sambil ditutup dengan bantal. Ingatannya masih kepada ibu bapanya yang baru seminggu meninggal dunia akibat kecelakaan jalan raya. Ryan kini dihantar ke sini seawal usia enam tahun. Ryan tidak mempedulikan budak lelaki yang sebaya dengannya itu. Dia membiarkan budak itu seperti bercakap dengan tunggul kayu.

“Vills, biar abang yang pujuk.” Abang Gman pula yang mengambil alih untuk memujuk Ryan yang sejak dari tadi menangis setelah menjejakkan kaki ke asrama anak yatim Wixes itu.

“Adik...tak perlu sedih lagi. Kita kat sini senasib je. Yang lepas tu lepaslah. Yang pergi tetap akan pergi. Yang penting kehidupan kita perlu diteruskan. Jom kita pergi makan. Mesti adik lapar kan?” Abang Gman pada ketika itu sudah berusia 12 tahun memujuk lembut. Dia juga kehilangan ibu bapanya sejak setahun yang lepas. Dia dan Vills juga dihantar ke sini.

“Vills pun lapar la abang.” Abang Gman tersenyum melihat gelagat adik tunggalnya itu yang merengek manja.

“Jom, kita pergi makan sama-sama. Kat sini ada ais krim coklat madu tau.” Akhirnya Ryan termakan juga pujukan Abang Gman. Sejak dari itu mereka membesar bersama-sama sehinggalah menempa kejayaan pun dalam bidang yang sama dan bekerja di pusat yang sama. Terlalu banyak persamaan. Tentunya itulah anugerah keistimewaan.
“Penerbangan akan bermula dengan kiraan sepuluh, sembilan, lapan, tujuh, enam, lima, empat, tiga, dua, satu.” Jet itu meluncur laju meninggalkan lapangan terbang. Semakin tinggi logo empat ekor Gagak Hitam itu dibawa terbang melambangkan keberanian dan keperkasaan. Meninggalkan Kota Wexire. Meninggalkan Vills yang kaku di perut bumi. Menuju ke Black Horror. Mahu menghapuskan Zarah Ilusi.

3 comments:

Sakura Putih said...

Miss Zircon..sambung la citer nie..tertanya2 apakah endingnya..good writing..1 pemikiran yang mendahului zaman..cerita yg benar2 hidup serta tak mustahil ianya wujud di zaman akan datang..

Miss Zircon said...

Sakura Putih: Kalau Miss Zircon sambung citer tu, nak tambah satu watak lagi bernama Sakura Putih...nantikan debaran sambungannya sayang...hehehe..nampaknya Miss Zircon kena buat Zarah Ilusi ni citer bersiri...hehehe

Sakura Putih said...

Kalu Miss Zircon nak tambah watak Sakura Putih dlm Zarah Ilusi, kecik tapak tgn, perahu besar Sakura Putih tadahkan...he,he,he.. :) :) :)