Wednesday, June 16, 2010

Insan Biasa

Insan Biasa

©Miss Zircon

DALAM keheningan malam, kedinginan dan kehangatan bersilih singgah di sukma raya. Tiada bintang yang sudi menyala. Hanya cengkerik bermaharajalela. Bagaikan malam milik mereka. Persis siang tak lagi bersua. Aku tidak seriang cengkerik yang sedang asyik. Perlukah aku cemburu? Sedang di hati tangis berlagu. Terbungkam dalam sejuta keluhan. Buat entah keberapa kali, aku kini dipanah rindu lagi.

Sekali sekala hanyut dalam angan yang jauh. Tak tergapai oleh tangan yang cemar terpalit noda. Aku termangu dalam kesyahduan. Dalam lena tidak bersauh. Andai bisa aku putarkan waktu, ingin sekali melewati detik itu. Detik untuk bersamamu. Detik yang tidak akan kembali. Detik itu telah berlalu. Aku rindu.

Aku menapak semakin laju dalam celahan ratusan bayangan. Mencungap-cungap lelah. Mana ibu? Mana ayah? Adik? Kakak? Aku tidak peduli. Hanya satu misi. Hanya satu pasti. Mahu selamatkan diri. Berlari tanpa menoleh. Berlari tanpa peduli. Berlari kerana tidak berani. Berlari dan terus berlari. Aku tidak mahu senasib dengan mereka. Aku tidak mahu menjadi makanan tengahari si celaka! Aku berlari di atas batu-batu yang tajam. Sekali sekali sempat kukutip jadikan bekalan. Bekalan untuk membalas dendam. Setelah agak jauh aku berpaling ke belakang. Ada sesuatu dalam genggaman tanganku yang gementar. Ada bekalan kukutip untuk membela diriku yang ketakutan. Lantas, aku gagahkan jua. Tangan yang kerdil kuangkat dan kubawa ke belakang selari dengan kepala yang pernah sujud pada Tuhan. Dengan sekelip mata tangan yang kerdil tadi sekali lagi aku ke depankan dengan sejuta kepayahan. Bertebaran anak batu yang kukutip menghala pada Zionis berhati syaitan. Anak batu yang bertebaran bagaikan mengherdik dan menghalau. Aah...bagaikan kapas yang terbang. Aku tidak berjaya menghalau Zionis yang kejam. Berderai hilai tawa mereka. Aku semakin ketakutan. Zionis terus mengejar. Aku kembali menyusun jejak di bumi Palestin yang menjadi perjudian. Berlari dan berlari tanpa haluan. Bagaikan nakhoda tanpa peta.



Ada duri yang terpijak. Maka tercalarlah dan berdarahlah dua kaki yang kepenatan. Kaki yang lemah terus kugagahkan. Membuka langkah yang semakin lemah. Tapi aku sudah tak berdaya. Zionis yang bersenjata memuntahkan kuasanya. Maka sepantas kilat peluru itu melulu. Terjadilah campuran dalam dua unsur yang padu. Bahan kimia berbisa menusuk ke belakang jiwa hamba tak berdosa. Gugurlah dan bercerailah satu lagi nyawa.

“Astagfirullahal azim.” Tersentak. Aku meraup wajahku yang berpeluh keringat ketakutan. Aku bermimpi lagi. Mimpi yang realiti.

Kenapa hidup tidak seindah mimpi? Kenapa mimpi tak seindah pelangi? Aku bertanya lagi. Mengulangi dan terus mengulangi. Mengapa? Aku sebenarnya tidak mengerti. Ranting kehidupan di pohon kehambaan kian rapuh. Tak tertanggung amanat di bahu yang lemah. Kadangkala aku tewas. Aku hilang punca, arah dan tujuan. Kompas iman kian goyah sering berubah haluan. Malah pernah jua berputus harap. Aku terkilan dek rimbun hitam Kekafiran. Sungguh ummatmu punah tanpa kau di sisi. Lihatlah dunia kini, penuh dengan cubaan hatta ujian yang semakin tertebar meliar. Lihatlah pada noda yang tercipta di hamparan bumi yang hina. Sana sini orang bercerita. Dunia hampir ke penamatnya. Utara dan timur. Barat dan selatan. Semuanya menuju pada kemusnahan. Aku sebenarnya gentar. Tak daya melawan Zionis durjana.

Mungkinkah kerana tanpamu ya Muhammad? Dongaklah ke atas pula. Nescaya kau dapat melihat, betapa awan tak lagi gagah. Betapa angin mencipta pasrah. Bumbung langit tak lagi tersenyum. Redup di balik esak tangis ummatmu.

Saksikan wahai Muhammad. Betapa ummatmu kian jatuh. Ummatmu kian tertindas. Seakan sudah tertimbus. Hilang rasa ukhwah. Tercetus sengketa lara. Hingga nyawa menjadi mainan. Lihatlah pada kemelut muara peluru. Desa ummatmu subur dengan air darah yang merah. Satu persatu jiwa ummatmu rebah. Menyembah lantai maruah. Mengapa kau masih berdiam ya Muhammad? Melihat begitu nasib ummatmu! Melihat anak kecil tidak lagi beribu! Mengapa kau tidak hadir? Saat peluru mencecah ke dinding rumah Tuhan! Saat nyawa menjadi taruhan! Tika bergelut dalam ketakukan! Ya Muhammad tidakkah kau tahu derita ummatmu?

Pandanglah dengan rasa kasihmu wahai Muhammad. Biar aku ceritakan dalam tulisan. Saksikan dalam kemelut muara peluru, Zionis berpesta menjamu nafsu. Di tangannya ada kuasa, persis kota dia yang punya, berlagak bagai raja, padahal diri sebenarnya melata!

Tidakkah kau tahu wahai Muhammad. Dalam meredah kemelut muara peluru, tangisan si kecil menjadi lagu, pujuk dan rayu dibuat tak tahu, hinggalah saat bertukar haluan, peluru melulu singgah ke badan, jiwa ummatmu terpisah jasad berselerakan, Zionis ketawa mirip syaitan!

Wahai Muhammad masihkah kau mahu membiarkan? Begitu diari ummatmu yang pilu menceritakan. Tidakkah kau kasihan? Tidakkah kau mahu menghulur tanganmu yang mulia itu? Atau terbit rasa benci di hatimu? Sanggupkah kau melihat ummatmu tanpa pembelaan. Mahkamah dunia tidak seadil yang disangkakan. Ummatmu mahukan keadilan! Ummatmu perlukan perhatian! Ummatmu perlukan kasih sayang! Ummatmu perlukan sedikit ruang! Kerana ummatmu juga insan. Inginkan sebuah kehidupan.

Wahai Muhammad. Sekali lagi ummatmu merayu dan mendayu-dayu. Tanpa jemu. Dalam sendu berhempedu. Dalam helaan nafas syahdu. Kembalikan sebuah keamanan. Kembalikan nikmat persaudaraan. Kembalikan suara kecintaan. Singkirkan bayu kepiluan. Sekadar untuk pengabadian diri yang tenang.

Ummatmu inginkan kota seperti Kota Madinah yang pernah kau martabatkan bukannya kota seperti sekarang. Ummatmu mahukan pemimpin yang gagah dan bermaruah. Ummatmu rindukan suara persaudaraan. Ummatmu sudah jemu erti keganasan. Ummatmu juga benci pada kekejaman. Ummatmu inginkan semuanya seperti yang pernah kau ciptakan. Kau letak sinar dalam kota iman. Kau hembus rahmat pada laman bayu. Kau tiup semangat api keagungan Tuhan. Tetapi tidak lagi kini. Yang tinggal sisa kehancuran. Yang gah tapak kekafiran. Yang kekal bumi yang gersang. Tandus persaudaraan.

Wahai Muhammad, jangan kau menghukum ummatmu atas kedaifan. Berikan sedikit lagi ruang. Menutup tirai kelalaian. Menyelak tirai keinsafan. Membina tembok keimanan. Kerana ummatmu sebenarnya tidak perkasa tanpamu yang menyuntik bicara. Tanpamu siang tak bercahaya. Malam tetap gelita. Kerana ummatmu insan biasa. Biar aku kiaskan. Begini umpama biasan. Biar mengalir bak terusan. Dengarkan sebuah keluhan untuk tatapanmu wahai Muhammad.

Ummatmu bukan Aisyah,
Yang digelar si pipi merah,
Ummatmu bukan Khadijah,
Tak pernah merungut lelah,
Ummatmu bukan Mashitah,
Tak gentar menempuh musibah,
Ummatmu bukan Asiah,
Tak luluh dicengkam mewah,
Ummatmu bukan Sumayyah,
Tegar menelan tohmah,
Ummatmu bukan Adawiyah,
Teguh tak ubah arah,
Ummatmu insan lemah,
Yang sering goyah,
Moga terampun segala dosa,
Yang telah ummatmu lambakkan,
Kerana Ummatmu punya kelemahan,
Tidak seperti mereka,
Menjadi sebutan dalam Al-Quran,
Ummatmu insan biasa.

Maka, andai benar bersuluh nyata. Pernah ummatmu mencipta noda. Maafkan dan ampunkan. Berilah peluang ke dua untuk bertaubat dari keruh dosa. Kerana ummatmu insan biasa.

Lamunan terhenti. Aku bangkit dari kedukaan. Bersama harapan dan impian yang pasti. Seiring dengan usia yang masih bersisa. Ya Muhammad terimalah kami sebahagian dari ummatmu dan sapulah air mata duka. Begitu doa tulus yang bergema semarak rindu padamu ya Rasulullah. Andai kau masih bersama akan bertiup ungkapan sengsara seluruh alam maya. Dek kerana kemuliaanmu kekasih Allah. Kau idola berbisa. Lebih tajam dari senjata. Lebih hebat dari pena.

No comments: