Wednesday, June 16, 2010

Hidupku Dan Hidupmu Bermakna

HIDUPKU DAN HIDUPMU BERMAKNA
©Miss Zircon


TEMA : DERMALAH ORGAN DEMI SEBUAH KEHIDUPAN
KATEGORI: INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
TAJUK : HIDUPKU DAN HIDUPMU BERMAKNA
TARIKH : 30 MEI 2009



KEHIDUPAN yang bagaimana kita inginkan? Hidup bersulam air mata? Hidup berteman hilai dan tawa semata-mata? Hidup yang berselang seli suka dan duka? Hidup yang bersilih ganti rumah dan hospital? Atau, kita impikan sebuah kehidupan yang bermakna?

Mengaku atau tidak, rata-rata makhluk yang bernyawa inginkan sebuah kehidupan yang indah, jauh daripada penderitaan yang menyeksakan. Bahagiakah kita andai harta yang berlingkar menggantikan sepasang biji mata? Tersenyumkah kita andai darjat yang dijulang memayungi jantung yang lemah?

Apalah erti hidup andai sering berlumpur dalam esak. Bagi yang malang, lumpuh impian yang dicanang andai seluruh kehidupan hanya terbaring di atas tilam milik hospital kerajaan mahupun swasta. Yang masih dikurniakan nikmat kesihatan atau berlabel manusia normal tanpa cacat dan cela masih mampu terkekek-kekek dan terbahak-bahak kebahagian tanpa menjenguk barang seketika ke tingkap bangunan yang menjadi rumah ke dua insan yang juga mahu tersenyum dan ketawa bersama-sama. Mereka sudah penat meratib hiba! Ayuh kita ziarah jendela duka mereka, agar seiring melakar pelangi kehidupan berwarna warni.

SUASANA cemas serentak menyelubungi dua bilik yang berasingan. Bilik pertama baru sahaja mendapat berita menggembirakan. Ah, seorang lagi bayi dilahirkan! Statistik kadar kelahiran negara bakal berubah lagi! Ibunya tersenyum, hilang rasa sakit setelah bayinya selamat dilahirkan. Pemeriksaan kesihatan segera dijalankan ke atas insan kerdil yang masih putih suci murni.

“Maaf puan, ada berita kurang menyenangkan. Diharap puan tabah dan banyak bersabar. Bayi puan mengalami komplikasi organ dalaman yang kronik.” Luluh hati seorang ibu mendengarkan bait kata daripada seorang pakar perubatan yang mengkelek fail rekod kesihatan bayinya.

“Maksud doktor?” Masih tidak mahu mengerti dan mengharapkan doktor itu sekadar bergurau. Matanya berpinar-pinar. Imej doktor di hadapannya terbelah dua. Lama-kelamaan menjadi empat, lapan, dan semakin banyak! Dia hampir pitam.



“Bawa bertenang puan. Masih ada jalan dan kita sama-sama usahakan untuk menyelamatkan bayi puan.” Doktor yang memahami kegalauan hatinya cuba mententeramkan.

“Tapi bagaimana?” Suara itu sungguh lemah. Serentak air matanya bercucuran. Di hatinya sarat kelukaan. Dia mahukan bayi yang sihat. Dia mahu melihat bayinya membesar dan menjadi insan yang berguna. Mungkin menjadi seorang guru bersuara lantang mendidik anak bangsa! Mungkin juga menjadi seorang doktor yang memperjuangkan kesihatan ummah! Tetapi, mampukah dia melihat semua impian itu andai bayinya telah didiagnosis sedemikian!

Bilik yang ke dua juga dalam cemas. Berperang dengan kesakitan! Seorang lelaki tua terbaring lesu. Nafasnya terumbang ambing bagai layar patah di lautan bergelombang. Anak-anaknya yang setia menemani bungkam. Mungkinkah masa ayah telah tiba! Masing-masing tidak berani untuk menyuarakan, cukup sekadar pintasan perasaan yang bermain dalam hati walang.

Mengimbas kisah hidup ayahnya, mereka sebenarnya berbangga. Punyai ayah yang berjasa. Pengasas dan pejuang Persatuan Organ Muhibbah Negara yang gah selama 22 tahun lamanya. Ayahnya mengamalkan cara hidup sihat sepanjang 63 tahun usianya. Cuma kali ini, nasib tidak menyebelahinya. Sejak seminggu yang lepas dia terlantar di hospital. Bukan kerana faktor kesihatan yang terjejas seperti kebanyakan insan lain yang seusia dengannya, barangkali berkonflik dengan diabetes atau darah tinggi. Tetapi tidak bagi ayahnya. Sejak kebelakangan ini ayahnya sukar menyedut udara. Ayahnya sekadar sakit tua! Sakit yang sehingga kini belum terserempak penawarnya.

“Tuttttttttt……..” Lamunan terhenti. Mesin pengesan nadi melakarkan garisan horizontal yang panjang. Nafasnya di sini sahaja. Ayahnya pergi jua.

“MENELUSURI makna pendermaan organ, cantik tafsirannya secantik manfaatnya. Memetik takrifan, pendermaan organ merupakan proses mendermakan bahagian tubuh badan seseorang untuk transplan sesudah seseorang itu meninggal dunia. Manakala transplantasi (Permindahan Organ) adalah suatu pembedahan yang melibatkan pertukaran organ atau tisu yang mengalami kegagalan fungsinya dengan organ atau tisu yang berfungsi dengan lebih memuaskan daripada seseorang penderma yang telah meninggal dunia. Dengan cara ini, maka kehidupan penerima organ atau tisu itu akan menjadi lebih selesa dan sempurna serta nyawanya akan terselamat.” Suara Muhammad Iman lantang memberi ceramah dalam Perhimpunan Persatuan Organ Muhibbah Negara sebulan yang lepas.
“Apakah organ dan tisu yang boleh didermakan?” Seorang hadirin bertanya. Ada yang masih kabur. Ramai ternganga.
Kebelakangan ini, membiak dalam media pihak yang tampil memberi penjelasan. Kata pakar, pada umumnya organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati, paru-paru dan pankreas. Tisu-tisu yang boleh didermakan pula adalah mata, tulang, kulit dan injap jantung.
Sesudah tersebar maklumat itu, ada lagi soalan yang timbul. Tempias daripada segi hukum! Bagaimana pula dengan isu agama? Ini jawapannya kepada sesiapa yang benar-benar luhur.
“Kebanyakan agama di seluruh dunia seperti Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan Sikh mengiktiraf pendermaan organ dan tisu sebagai satu amalan yang mulia. Sedikit palitan hadis sebagai pengukuhan. Hadis Muslim berbunyi ‘tidaklah sempurna iman sesiapa dari kalanganmu, sehingga dia mengasihi untuk saudaranya, apa yang ia kasih untuk dirinya sendiri’.” Muhammad Iman petah berhujah.
Berimankah kita tanpa subur dan melimpah sifat kasih sayang sesama makhluk? Ataupun kita zahirkan rasa kasih dengan berkali-kali menyuarakan, “aku turut bersimpati atas penderitaanmu” tanpa benar-benar merealisasikan dengan perbuatan. Mungkin, sudah cukup dengan melaungkan slogan “Dermalah Organ Demi Sebuah Kehidupan!” sepertimana bercambah di dada-dada akhbar, yang memekik ke hulur ke hilir kononnya “aku sahut seruan demi memperjuangkan sebuah kehidupan”, bahkan di hati bersarang rasa was-was! Jelek sungguh pada pandangan Tuhan.

Setuju atau tidak sekiranya ada suara tiba-tiba memecah keraguan, melontarkan halus bahasa, menutur dalam iman yang berbunyi, “Pendermaan organ adalah sebuah perkongsian!”. Muhammad Iman bersuara lagi. Murni sungguh! Terbeliak mata hadirin yang hampir terpejam mendengar ceramah itu! Kaget! Perkongsian yang bagaimana maksudnya?

“Begini, perkongsian yang amat jernih ertinya. Perkongsian nikmat yang Tuhan kurniakan kepada diri yang tahu membezakan di antara syukur dan kufur. Bukankah perkongsian melambangkan darjat kasih sayang?” Benar! Maka terjawablah maksud hadis Muslim berkenaan. Terbuktilah nilai iman seseorang. Hadirin bertepuk tangan.

Wasiat ayahnya tertunai sudah. Bayi kecil yang diberi nama Nurul Iman telah berjaya menjalankan pembedahan organ dalaman. Bermakna bayi itu mampu mengecapi nikmat kehidupan yang masih jauh dan panjang. Tak henti-henti ratib syukur terbit daripada bibir si ibunya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada arwah Muhammad Iman yang sudi mendermakan sekeping hati untuk bayinya meneruskan lorong kehidupan.

Si ibu menjenguk bayinya yang lena dalam buaian, tersenyum seperti kebanyakan bayi yang diagah walaupun terpejam. Bayinya bermimpi indah barangkali. Itulah perkiraannya.

Muhammad Iman bersemayam di atas kerusi bertatah permata delima, tersenyum indah sambil melambai-lambai ke arah Nurul Iman. Itulah Taman Syurga.

Benarlah firman-Nya yang diulang berkali-kali dalam Surah Ar-Rahman:

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?”

No comments: