Wednesday, June 16, 2010

Kudus Pengharapan

KUDUS PENGHARAPAN
©Miss Zircon
Published: Dewan Sastera 2008

Andai mampu kuputarkan waktu,
Ingin aku kembali detik itu,
Andai mampu kulenyapkan senja,
Pasti kita masih bersama.

HAMKA pernah tersohor dengan kalimahnya berbunyi, “Kehidupan ini seumpama bunga, maka cinta adalah madunya.” Pepatah Inggeris ada juga menyebut, “Hidup tanpa cinta ibarat taman tidak berbunga.” Juga ada peribahasa Mexico mengatakan, “Manusia yang dibakar api cinta dapat melihat di dalam gelap.”

Namun hal yang menyedihkan dalam hidup, adalah ketika kamu bertemu seseorang yang sangat bererti bagimu. Hanya untuk menemukan bahawa pada akhirnya menjadi tidak bererti dan kamu harus membiarkannya pergi. Benarkah? Atau sekadar kiasan bahasa mahupun ungkapan baris kata untuk menyedapkan bicara?

“Adinda, pandanglah di awan sana, sungguh indah si bulan purnama, ibarat jernih air di kuala, begitu umpama kasih kita.”

“Kekanda, pandanglah pula di dahan sana, ada pungguk setia hatinya, merindui bulan jatuh ke riba, ibarat setiaku pada kekanda.”



Begitu romantis pasangan yang baru setahun jagung mendirikan masjid itu bermain madah pujangga. Teringat pula akan kata-kata romantis dendangan lagu irama Pop Yeh Yeh ini, macam serasi situasinya.

“Tanya sama hati mengapa merindu, ingat masa lena apa mimpimu, masa berjauhan apa nan dikenang, bila difahamkan itulah sayang.”

“Jikalau tidak kerana sayang, kuntuman kasih tak mungkin kembang, andainya jemu pengganti rindu, jambangan mesra tentulah layu.”

“Tanya sama hati apa rasa sayang, apakah tandanya nampak dipandang, kumbang rayu bunga bulan dan bintang, punya tanda-tanda hubungan mesra.”

Cinta mereka mekar berbunga, ibarat Romeo dan Juliat atau yang lebih hebat seperti tercatat dalam sejarah penciptaan dan percintaan pertama manusia. Cinta Adam dan Hawa? Kencana Dewa dan Puspa Sari diijabkabulkan atas dasar cinta. Cinta yang berputik sekian lama, kini telah menjadi nyata dengan ikatan yang sah.

“Andai gugur bunga seroja, petiklah tanjung sebagai ganti, andai jujur setia beraja, pasti bahagia hingga ke mati.” Puspa mengerling manja pada Kencana.

“Rupa cantik pelangi berseri, takkan sama bulan yang terang, dua tiga dapat kucari, manakan sama adindaku seorang.” Giliran Kencana pula membalas pantun. Dari raut wajah mereka, terpancar sinar kebahagian yang mereka kecapi. Ah, cemburukah pungguk melihat mereka?

Hari berlalu, musim berganti. Kehadiran cahaya mata yang pertama menggamit suasana, kalau dulu hidup berdua, kini sudah bertiga.

“Adindaku Puspa Sari, sungguh kekanda amat gembira, dikurniakan tuhan cahaya mata, pada fikiran adinda apa gelaran yang harus kita berikan?”

“Sungguh adinda tak memilih, terserahlah pada kekanda.”


“Kenapa kita mesti berpindah?” Puspa keliru.
Kencana tidak terus menjawab. Dia bagaikan hilang akal. Buntu. Suasana sunyi seketika.

“Bukankah hutan ini tanah air kita, tempat kita hidup sekian lama, tempat kelahiran ayah bonda kita, juga tempat kelahiran kita. Mengapa tidak untuk kita pertahankannya?” Puspa cuba menegakkan pendirian diakhiri sebaris persoalan.

“Benar apa yang adinda katakan, tapi tidakkah adinda sendiri melihat tempat ini sudah tidak selamat lagi untuk kita diami? Sana sini jiran berbicara, ada makhluk yang mencemburui kita.” Kini Kencana petah berhujah sambil ditinggikan sedikit suara garaunya.

“Tapi, adinda masih sayangkan kampung ni, kalau kekanda mahu pergi, pergilah, tinggalkan adinda dan anakanda Jalak di sini. Adinda rela mati di negeri sendiri.”
Bagaikan luruh jantung Kencana mendengarnya, mana mungkin dia berpisah dengan anak dan isterinya. Kalau nak mati, biar mati bersama. Kencana sudah berputus asa untuk memujuk isterinya itu. Jiran-jiran kiri dan kanan semua telah berpindah. Cuma mereka yang masih di situ, menunggu apa yang tidak pasti, mungkin maut menanti.

Kemusnahan yang melanda menghimpit kehidupan mereka. Setiap hari Kencana akan keluar mencari makanan di luar, kadangkala ke sebelah timur, kadangkala ke barat. Jalak yang sedang membesar memerlukan perhatian yang lebih, perlu makanan yang berkhasiat, ditambah pula Puspa yang kini hamil lagi. Di sini, kebanyakan pokok sudah ditebang, tiada buah-buahan yang mampu dihasilkan.

“Adinda, tidakkah adinda ragu akan bencana ini. Cuma kita yang masih di sini, jiran tetangga telah berlalu pergi.” Keluhan disuarakan Kencana pada suatu petang.

“Telah adinda katakan, hidup dan mati ditangan tuhan. Andai kekanda gusar pergilah, adinda rela berpisah.” Bagai keris beracun, tajam dan berbisa susunan gaya bahasanya. Terkesima Kencana mendengarnya. Pendirian Puspa sedikit pun tidak goyah, teguh ibarat tembok China yang dibina di bawah naungan zaman maharaja.


“Buuummm!!!”
“Adinda cepat lari ke belakang sana!” Kencana memberi arahan.
Kencana bergegas pantas sambil mendukung anaknya. Suasana yang cemas menyelubungi mereka. Puspa yang sarat mengandung tidak mampu untuk bergerak pantas. Kencana yang menyedari keadaan itu, berpatah balik untuk mendapatkan isterinya.

“Kita ikut jalan bawah saja.” Kata Kencana cemas.
“Adinda takut!”
“Jangan khuatir kita akan selamat!”

Jalak yang masih kecil menangis walaupun dia masih belum mengerti apa-apa. Mereka menyorok di sebalik pokok mengkudu yang berusia hampir separuh abad itu. Tangisan Jalak menjadi-jadi. Puspa pula yang memujuknya, mereka khuatir tangisan Jalak menarik perhatian manusia yang tak berperikemanusian itu.

“Angkara siapakah itu kekanda? Sungguh adinda bimbang akan keselamatan kita.”


Petang semakin tua, senja hampir melabuhkan sauhnya. Namun bayang-bayang Kencana masih juga tak kelihatan. Resah gelisah berbaur was-was menerkam di jiwa Puspa. Hati siapa tak bimbang, menunggu suami tak pulang-pulang. Mungkin itulah permainan pergolakan perasaan Puspa.

“Kalau ia pun mencari pisang takkan sampai ke hutan seberang.” Puspa bersoal jawab sendiri.

Dia mundar-mandir umpama perahu yang diikat di tebing sungai, tak duduk diam ditolak lembut alunan sungai. Matanya ralit seketika apabila terpandang Jalak yang kini sudah pandai melompat-lompat nyenyak tidur. Dia mula merancang sesuatu.


Kencana yang tercungap-cungap keletihan, memanggil-manggil isterinya setibanya di rumah. Kalau boleh sekarang juga dia ingin menceritakan segala-galanya. Ada makhluk berjiwa raksasa sekali lagi menceroboh ke kawasan kediaman mereka. Dipanggilnya Puspa berulang kali. Tidak disahut panggilan itu. Hanya kedengaran, tangisan Jalak. Lantas dia menghampiri anak kecil itu. Didukungnya Si Jalak. Sudah lamakah anak ini menangis? Laparkah Jalak? Kencana lantas memberi anaknya itu makan.

“Mana Puspa?” Dia bertanya sendiri.
Puas sudah dicari sekeliling kawasan itu. Tak juga ditemui. Tidak pula dia meninggalkan sebarang catatan mahupun sebaris pesan. Kencana mula memikirkan yang bukan-bukan.

“Takkan Puspa sanggup tinggalkan anak yang kecil ini seorang diri tanpa sebab. Puspa tidak sezalim Firaun.”

Tanpa berfikir panjang dia membawa Jalak mencari Puspa. Jalan mana yang harus dilalui? Kencana tidak pasti. Apa yang pasti, nyata dan mesti, Puspa wajib dicari. Mungkin Puspa dalam bahaya. Itulah yang merantai kotak fikirannya. Diredahnya belantara itu. Namun kelibat Puspa masih belum kelihatan. Pergerakan otot-otot lengannya di susun kemas. Ditambah pula beban Jalak yang terpaksa didukungnya. Pergerakannya perlu berhati-hati. Bimbang rentaknya mengundang bahaya. Bimbang juga terserempak makhluk perosak yang pernah ditemuinya tadi. Persis Maharaja lagaknya. Umpama kuasa di genggaman mereka. Bagai dunia mereka yang punya. Manusia berhati batu. Ada akal tapi beku. Cemuhan demi cemuhan menjalar di ruang benaknya.

Mungkin kerana itulah Kencana terlambat sampai ke rumah, kerana menyorok dari dilihat oleh pengganas. Cerita itulah yang sebenarnya ingin disampaikan kepada Puspa. Namun dia terlewat rupanya.

Tiba-tiba, kedengaran suara yang amat membingitkan. Deruman enjin rupanya. Enjin apa? Hati Kencana tertanya-tanya. Dipanjatnya tinggi-tinggi Pokok Gelang itu. Ingin dilihatnya dengan lebih jelas apa yang berlaku. Puspa!!! Serentak itulah seluruh skru sendinya longgar dan longlai, terkejut dengan apa yang dilihatnya.


Kini genap dua tahun peristiwa hitam itu berlaku. Genap dua tahunlah jua dia berpindah dari hutan persis neraka itu. Merampas nikmat hidupnya. Merentap jiwa tak berdosa. Mungkin di sini lebih selamat. Sungguh dia merindui isterinya. Selamatkah Puspa melahirkan anak bongsunya. Anak perempuan atau lelaki? Baginya hidup tidak bermakna lagi. Mujur ada Jalak penghibur di hati.

Sungguh dia terharu apabila melihat Puspa yang sarat mengandung dibawa lari oleh pacuan tayar getah bernama lori oleh manusia yang berurat dawai, bertulang besi dan berhati konkrit itu. Persis kelakuan hantu syaitan! Teriak hatinya.

Mengimbau memori itu, dia masih teringat betapa sayup-sayup kedengaran Puspa menjerit meminta tolong. Apa yang terdaya dilakukan oleh Kencana ketika itu. Dia terlambat. Setibanya di Pokok Gelang yang terletak di simpang jalan itu, lori sudah meluncur laju. Hati menangis hanya Tuhan yang tahu. Manusia tidak lagi seperti manusia. Itulah tuduhannya. Khabarnya, Puspa kini ditempatkan di Zoo Sepilok. Untuk tontonan umum bagi pengunjung-pengunjung. Sebagai hiburan buat manusia. Tetapi tidakkah manusia tahu dan terfikir, betapa derita hidup makhluk bernama Orang Utan, terpaksa berpisah antara kekasihnya, terpaksa berpisah antara ibu dan anak. Jalak masih belum puas merasai kasih sayang ibunya. Tetapi betapa manusia itu mencemburui mereka, lantas memburu untuk memusnahkan kebahagian itu. Mereka juga ingin hidup bahagia bersama keluarga mereka. Tidakkah manusia terfikir akan hal itu. Sungguh cetek nilai kemanusiaan manusia.

“Ayah, ayah jomlah kita panjat pokok yang tinggi pula!” Lamunan Kencana yang panjang tergendala seketika apabila Jalak yang dari tadi tak henti-henti asyik bergayut menjerit memanggil namanya. Kalau Puspa masih di sisi, mesti Puspa pun turut gembira melihat Jalak yang kini kian meningkat usianya semakin pandai berdikari.

Kencana tersenyum sendiri melihat gelagat anaknya. Dapat dirasakan otot-otot lengan Jalak semakin kuat untuk menampung beban berat sendiri ketika bergayut. Pergerakannya tangkas sekali menyambar dahan-dahan di kanan kiri. Tak perlu diajar, Jalak seolah-olah sudah mengerti tabiat semulajadi warisan tinggalan, tradisi berzaman.

Di sebalik keriangan palsu itu, tidak ada siapa yang tahu, bahawa di hatinya hanya tangisan kepiluan yang berpanjangan oleh resah mimpi yang tak sudah.

“Kepada angin lalu, dikirimkan rindu buat isteri yang terpisah. Kepada bulan di awan, dikirimkan sinar kebahagian agar terpancar ke lubuk hati isteri tersayang. Kepada pelangi petang, sampaikan warna keindahan kepada Puspa agar dilupakan kisah lama. Kepada gerimis senja, sapulah air mata duka di hati Puspa. Kepada Tuhanku, limpahkanlah kekuatan untuk isteriku agar dia bisa membina hidup baru di dunia baru. Hanya itu penawar bagi luka yang berdarah, luka yang parah. Tuhanku, aku hanya makhluk yang lemah, yang tidak semulia manusia yang berakal, namun aku jua Engkau ciptakan punyai perasaan.” Begitu ungkapan doa dan pengharapan yang mampu dilafazkan oleh makhluk yang bernama Kencana Dewa berketurunan Orang Utan.

“Cuma satu pesanku wahai isteriku, walau di mana kita berada, kita tetap berpijak di bumi yang nyata, kita tetap berpayung di bawah langit tak berpenghujung, dan kita tetap memandang bulan yang sama, dan bermakna kita sentiasa bersama walau kita saling tak nampak dipandang.” Kencana mengakhiri pengharapan dengan sebuah madah yang akan dikirimkan kepada Puspa hanya melalui mimpinya dalam tidur yang tidak pernah lena.

Andai gugur bunga seroja,
Petik cempaka sebagai ganti,
Andai jujur setia beraja,
Seribu tahun tetap kunanti.

No comments: