Sunday, November 15, 2009

Karma Pawana - Cerpen

SURIA mula memancarkan kehangatan sinarnya. Kuntuman bunga masing-masing membuka lembayung kelopak. Damai sekali. Kelihatan si warna warni terbang ke sana sini. Ceria sungguh mereka di pagi hari. Masing-masing dengan tujuan tersendiri. Ada yang hinggap di bunga-bunga. Ada yang singgah di ranting-ranting kering. Ada yang terbang sambil makan angin. Ada yang bersiul menyanyi keriangan. Jauh di sebelah barat daya sana yang bersudut 225 darjah, ada sebatang anak sungai yang sederhana dalam airnya. Jernih berkaca. Terdapat batu-batu besar berpadu dengan akar-akar pokok yang panjang dan kasar di sekitar Belantara Damar, menjadi dinding penahan kepada tebing sungai itu. Batu-batu kecil juga banyak. Berselerakan di dalam sungai. Ada juga batu yang besar berlabuh dalam sungai itu. Separuh dipermukaan, separuh tenggelam. Kuntum dan Atan bersantai di atas permukaan batu besar di tengah-tengah sungai itu. Ralit memerhatikan anaknya yang sedang bermain dengan kawan-kawan yang lain dalam air sungai yang sejuk tidak jauh dari tempat mereka bersantai.

“Abang, Kuntum rasa sudah tiba masanya untuk kita berterus terang. Kuntum bimbang....” Kuntum meluahkan kekusutan yang makin bersarang di hati. Atan faham benar sifat semulajadi isterinya itu. Mudah resah dan gelisah. Cepat cemas tak tentu arah. Mungkin itulah naluri kewanitaan isterinya. Naluri seorang ibu. Bukan sekali luahan itu diucapkan oleh isterinya, malah sudah berpuluh-puluh kali. Sejujurnya, dia juga turut merasai tempias kebimbangan itu. Tetapi tidak sanggup rasanya untuk berterus terang. Terlalu berat baginya untuk dilafazkan biarpun sebuah kenyataan.

Saturday, November 14, 2009

Sejernih Zam-zam - Puisi

Kubiar rindu bermukim,
Ratusan daerah rela bermaustatin,
Kubiar resah bermusim,
Tak mengapa kalau tak dingin.

Kubiar ingatan meruntun,
Andai gundah kuratib namaMu,
Kubiar pengharapan beralun,
Bukan kumenagih sanjung.

Kutelan kelat penantian,
Dalam sujud sepertiga malam,
Lenaku sungguh singkat,
Dengkur yang sifar,
Mimpi tak sempat kulihat.

Kuyakin di sana,
Apabila ditemukan,
Akan berlayar resah di laut damai,
Terhembus angin duka terbang di awanan,
Moga kuraih makna pengabdian,
Sejernih air telaga zam-zam,
Seindah pelangi sesudah hujan,
Aku pencinta Tuhan.

Oleh: Siti Nor Santi
(30 Mei 2009)

Sumur Iman - Puisi

Dalam kemarau kejahilan panjang,
Tanah taqwa kian gersang,
Alur zikir kering kontang,
Lubuk ratib merekah-rekah,
Menjadi kepingan kufur tak berguna.

Kemarau kejahilan belum tamat,
Panas terik dosa semakin menyengat,
Persis angin makrifat haba yang hangat,
Lalu kulepaskan,
Kuhembus dalam nafas noda berterusan,
Kulihat,
Debu-debu taufiq berterbangan,
Awan rahmat tidak singgah,
Hujan hidayah belum rebah,
Dan aku semakin haus,
Dahagakan seteguk air keampunan.

Lama aku termenung,
Masih di tengah dataran kemarau itu,
Aku hanyut dalam syahdu,
Seraya mencapai cangkul taubat,
Tegak terpacak di balik pohon kering insaf,
Aku nekad,
Mahu menggali sedalam-dalamnya,
Menggali tanah tandus zuhud,
Biar berpeluh dan lelah,
Biar tangis menyapu keringat hitam mazmumah,
Kusembur wangian mahmudah,
Aku istiqamah.

Akhirnya aku terjumpa,
Mata air kasih Tuhan,
Mengalir perlahan-lahan,
Selembut sifat Rahim-Nya,
Sekudus zat Rahman-Nya,
Aku terus menggali,
Kalau-kalau terjumpa mata air lagi.

Nah!
Aku temui,
Mata air hidayah Tuhan,
Semakin deras mengalir,
Hingga memenuhi lubang yang kugali,
Hingga terbentuk sebuah perigi,
Rakus aku hampiri,
Kuceduk dalam khusyuk sungguh,
Dalam tafakur berulang kali,
Kuteguk puas-puas,
Terasa suci dan segar,
Hilang dahaga maksiat,
Nikmat dalam ibadat.

Kini kumiliki sumur iman,
Bukan untuk kusimpan,
Dalam redha akan kuagihkan,
Pada insan yang dahaga sepertiku,
Agar kami saling berkasihan,
Saling berpesan pada kebenaran,
Dan aku tidak akan dahaga lagi,
Walau kemarau masih panjang.

Oleh: Siti Nor Santi
(27/05/09)

Tampi Juang - Puisi

Tamsilan beras dan antah,
Tampi biar terasing,
Kutampik yang helah,
Biar lelah terengah-engah,
Tak mengapa,
Andai titik keringat berderai,
Hisablah dengan senyuman,
Biar ketara gelap dan cerah,
Bukan kekeliruan antara dua.

Kutampi lagi,
Antara juang dan adat,
Selagi hitam tedas masih jerambai,
Pada talian lena,
Terikat dalam mimpi,
Aku tak mahu,
Andai merdeka sekadar laungan,
Adat menanti detik,
Sehari sebelum Ogos berakhir,
Juangnya bahang menggila,
Juangnya hambar di kabus 1 September,
Juangnya bertempiaran pada 31 Oktober,
Juangnya malap di pertengahan November,
Juangnya padam di senja Disember,
Aku mahu,
Juangnya hidup sentiasa,
Terbit di fajar bilahan hari-hari,
Tak terbenam di ufuk esok lusa,
Biarlah gah di hati juang bangsa,
Tak mati sampai bila-bila,
Bukannya adat bermusim,
Pasang dan surut.

Aku jeran pada tipu daya,
Anasir keparat jadi raja,
Tuan melutut di tanah bonda,
Si jahanam bertakhta,
Emas perak milik siapa?
Bumi dipijak bara terasa.

Cukuplah,
Biar sejarah jadi teladan,
Biar darah jadi wangian,
Tak mahu kuulang tangisan,
Aku mahu bebas,
Bukan seperti ikan dalam jeramak,
Biarlah seperti helang,
Raja di udara,
Tuan di samudera,
Dewa di belantara.

Masih kutampi,
Antara semangat dan cinta,
Bimbang celau bersisa,
Padaku semangat itu roh,
Bersemadi dalam jasad bahtera,
Kemudi ke destinasi cinta,
Pelabuhan merdeka tamadun kita.

Tampian terakhir,
Kuratib rasa syukur,
Tak nampak beda cela,
Suci beras dalam badang,
Inilah makanan pusaka,
Akan kusuap ke mulut watan,
Biar kenyang di pangkal jiwa,
Kita anak merdeka,
Biarlah sifar dari alpa,
Tampilah juang,
Seperti beras yang dijulang,
Atas badang renungan,
Jalinan buluh keinsafan.

Oleh: Siti Nor Santi
(Ogos 2009)

Wakaf Penantian - Puisi

Seperti malam sebelumnya,
Di sebuah wakaf pilu,
Seorang tua bersimpuh lesu,
Menghitung jari jemari,
Membilang bintang di padang langit,
Menghisab waktu gugur ke bumi,
Leka mengira baki usia.

Si tua itu,
Setia di wakaf penantian,
Mengenang nasib diri,
Lantas dia menangis kini,
Berjurai air mata,
Bukan menyalahkan sesiapa,
Sekadar fitrah wanita yang lemah,
Begitulah cara mengulit gundah,
Biar tenang membelai resah,
Lalu dia bertanya,
Dalam gementar mulut bersuara,
Bilakah anakku akan pulang?
Menjenguk ibu di wakaf usang,
Mengubat rindu hati yang walang.

(14/11/09)
Oleh: Sinosan