Wednesday, June 16, 2010

Ratib Rindu

RATIB RINDU
©Miss Zircon
(16 Mac 2009)


SUDAH lama dia tidak tersenyum. Hampir dua puluh tujuh tahun dia begitu. Dia sudah tidak pandai untuk mengukir senyum. Perlukah dia belajar untuk menghasilkan sebuah senyuman sedangkan di hatinya sarat dengan kedukaan? Mindanya berpecah-pecah. Wajahnya kusam seiring dengan wajah tuanya. Ada sesuatu yang masih menjadi tanda tanya. Masih belum terungkai persoalan itu. Dia hanya mahukan kepastian bukannya pendebatan. Tetapi ramai yang tidak sependapat dengannya. Ramai yang menyangkal bentuk soalannya. Tak pernah ada walau seorang pun yang memberi jawapan malah semuanya melontarkan kembali soalan itu kepadanya. Dia tidak kecewa. Dia nekad mahu mencari jawapan yang tepat. Dia tidak pernah malu bertanya sebegitu

Dia mengetuk pintu itu beberapa kali. Inilah kunjungannya yang pertama ke rumah itu setelah hampir dua puluh tujuh tahun ditinggalkan. Namun tiada balasan. Sunyi. Segera dia menguak daun pintu itu. Tidak berkunci rupanya. Daun pintu itu kini terbuka luas. Dia masih kaku di beranda. Tidak berani untuk mengayuhkan kakinya masuk ke dalam rumah itu. Matanya terus berpusat pada bahagian atas. Merenung pada atap. Sinar matahari boleh menceroboh masuk terus melalui lubang-lubang atap nipah yang telah banyak mereput. Juga dipenuhi dengan sawang labah-labah di sana sini. Mengertilah dia, kini rumah itu persis labah-labah yang punya. Matanya beralih, rakus meratah setiap inci ruang dalam rumah itu. Tiba-tiba matanya terpandang sesuatu. Iya, sesuatu yang memilukan. Buaian! Serentak telinganya menangkap sesuatu. Iya, suara tangisan yang amat dirinduinya. Tangisan daripada buaian!

“Ibu datang! Ibu datang! Jangan menangis sayang!” Langkahnya pantas menerkam pada buaian yang masih tergantung kain batik yang sudah lusuh itu. Setibanya pada buaian, dia terbungkam. Hampa. Hanya mainan perasaan semata-mata. Dia terduduk sambil memegang kain batik buaian itu. Mengibas-ngibas debu dan daun-daun kering yang mungkin terjatuh dibawa angin masuk melalui jendela yang sentiasa terbuka dan mungkin juga melalui atap yang robek.

“Ya Allah, Subhanallah, tabahkan, tabahkan. Subhanallah temukan, temukan.” Wajahnya tersembam pada kain batik di buaian itu. Sekejap sahaja kain batik itu sudah basah menyerap air mata sucinya. Lama dia berteleku. Akhirnya dia cuba bangkit lagi. Dia menolak daun pintu sebuah bilik yang agak sempit. Alangkah terkejutnya, bilik itu masih bersih! Katil kayu berserta tilam dan cadar walaupun tampak usang namun masih bersih tanpa ada kesan debu apatah lagi tiada sawang labah-labah pun di bilik itu. Dahinya berkerut. Dia mendongak ke atas bumbung. Nyata, tiada atap yang bocor ataupun robek di situ. Bagaikan masih dijaga oleh seseorang. Tidak berani untuk dia menjenguk masuk. Segera ditutup kembali pintu itu dengan rasa keanehan.




Dia melangkah ke penjuru dinding dalam rumah itu. Tangannya segera menyapu-nyapu habuk dan debu pada cermin yang masih tergantung di dinding itu.

“Tentu kau yang jaga bilik tidur aku bukan? Terima kasih.” Dia bersuara memecah kesunyian di rumah itu. Nadanya lemah. Soalannya tidak pula dijawab, lantas dia menukar soalan lain pula.

“Kau pernah tengok Matahari menangis?”

“Maksud kau?”

“Aku tak bermaksud apa-apa. Aku sekadar bertanya? Kau mahu aku bertanya sekali lagi?”

“Baiklah sila ulang sekali lagi.”

“Kau tak marah kalau aku ulang bertanya sekali lagi?”

“Eh, tidak. Aku tak marah dan aku tak akan marah. Aku suruh kau ulang sekali lagi.”

“Baiklah, aku akan ulang sekali lagi. Kau pernah tengok Matahari menangis?”

“Maksud kau?”

Dua pasang kornea mata bertembung. Sel-sel saraf dan sel-sel otak berlaga dan berhubung. Yang pasti tiada senyum yang terpamer. Ada sesuatu yang tak kena. Ada sesuatu yang membangkit kemarahan. Ada sesuatu yang mencabar kewarasan. Siapa yang perlu dipersalahkan? Tiada hakim di situ untuk mengadili mereka.

“Maafkan aku. Jumpa lagi esok.” Akhirnya salah seorang daripada mereka mengalah juga. Perempuan itu segera memusingkan badannya mengikut arah lawan jam mengambil sudut seratus lapan puluh darjah dan bermakna dia telah membelakangi seraut wajah yang tadinya berhadapan dengannya. Tanpa menoleh dia menapak perlahan-lahan seperti tidak bermaya. Derap-derap langkahnya yang berirama menjadi melodi seiring hembusan angin pantai yang mencuri masuk dari jendela yang sedia terbuka menghadap lautan.

“Nanti dulu.” Langkah itu mati serta merta di muka pintu yang masih padu melekat pada birai dinding kayu. Sepantas kilat dia menoleh. Sekali lagi mata bertentang mata walaupun agak jauh jarak mereka. Pandangan itu agak tajam.

“Kau yakin kita jumpa lagi esok?”

“Sudah tentu. Kau belum menjawab soalan aku. Aku datang lagi esok. Aku janji.” Dia kini berada di beranda. Daun pintu itu ditarik perlahan-lahan. Dia tertunduk seketika. Segera dia menolak kembali daun pintu itu. Pandangannya sekali lagi melekat pada buaian.

“Ya Allah, Subhanallah, tabahkan, tabahkan. Subhanallah temukan, temukan.” Dia mengeluh berat. Daun pintu ditarik kembali.
Dia segera menuruni anak tangga yang berdebu dan berpasir itu. Rumah usang ditinggalkan lagi, lalu dia melewati pohon-pohon semak yang tumbuh meliar. Di sebalik batu yang besar, rumah kecil yang teramat usang beratap nipah yang sudah kebocoran itu masih mampu berdiri. Hanya rumah itu yang terpasak di situ, jauh daripada kediaman orang lain. Tetapi paling hampir dengan hujung sebelah hulu pantai kalau dikira berpandukan buruj di langit. Esok dia akan berkunjung lagi ke sini. Mengutip butiran halus rindu yang masih berbaki. Dia mahu menuju ke sebelah hilir pula. Mahu mencari jawapan lagi. Langkahnya dihayun senada dengan alunan ratib dibibir. Jauh dia berjalan. Kadangkala dia berhenti beberapa kali di batang pokok kelapa yang kurus dan tinggi sekadar melepaskan lelah sambil menitiskan air mata yang entah ke berapa puluh malah ratus ribu kali. Dia tidak ingat. Di perdu akar serabut pokok kelapa dia bersandar. Menyandarkan tangisan lagi.

“Ya Allah, Subhanallah, tabahkan, tabahkan. Subhanallah temukan, temukan.” Dia mengulangi ratib. Tanpa jemu walaupun kian lesu. Yang pasti air mata tetap bercucuran. Lengan baju kurung kedahnya yang sudah hampir luntur warnanya itu ditarik ke wajahnya, air mata disapu dalam sendu yang masih bergema.

RAMAI yang berpusu-pusu di tengah perkampungan pantai itu. Ada sesuatu yang menarik perhatian ratusan insan. Mereka seakan-akan berkumpul di suatu tempat walaupun masih nampak berselerakan. Ada sesi berjual beli. Tradisi yang pernah dianggap bertamadun masih dilaksanakan hingga ke hari ini. Suasana yang cukup bising. Masing-masing mahu bercakap tanpa mempedulikan orang lain. Masing-masing mahu mempromosikan barang jualan. Mahu mengaut keuntungan. Ramai yang membuka payung pasar tani di celahan puluhan pokok kelapa di tepi pantai itu. Tiada angin yang deras. Cukup damai cuaca hari itu. Namun kepanasan yang dirasa. Musim panas kini beraja.

“Kalau aku mahu membeli, sudikah kau menjualnya?” Soalan itu berbunyi pelik. Ada unsur-unsur keunikan dan mengandungi atom-atom kebodohan. Lelaki itu merenung perempuan yang pada perkiraanya sebaya dengannya mungkin, telah melewati usia lima puluhan dan bakal menghampiri pintu usia enam puluhan.

“Sudah tentu aku akan menjualnya. Kau mahu membelinya? Pasti kau dahagakan? Matahari panas terik.” Panjang lebar penjual air tebu itu berceloteh.

“Aku cakap kalau aku mahu membeli. Tapi aku tidak mahu membeli.” Kata-kata itu mengejutkan lelaki itu. Dia menggaru kepalanya. Keliru. Perempuan itu segera berlalu. Penjual air itu kembali melayan pelanggannya yang lain. Hari itu cuaca sungguh panas. Ramai insan yang kehausan. Air tebu jualannya sungguh laku. Dia tidak menang tangan melayan pelanggannya. Setelah semua pelanggan beredar, lelaki itu kembali ke mesin tebunya. Dia mahu menghasilkan air tebu lagi. Tong yang berisi air tebu di atas sebuah meja usang sudah berkurangan.

“Maaf.” Suara yang lembut tetapi tegas itu seperti dituju ke arahnya. Penjual air tebu itu mengangkat wajahnya sambil di tangannya masih memegang sebatang tebu yang kurang sedepa panjangnya yang sudah dibuang kulit keras yang membaluti isi tebu itu. Niatnya untuk memesin tebu tergendala seketika.

“Oh, kau lagi. Kau mahu membeli air tebu ke?” Lelaki itu melontarkan sebuah senyuman walaupun masih bersisa kepenatan. Perempuan itu tidak mahu senyum nampaknya.

“Tidak. Kalau aku mahu membeli baru aku membeli.”

“Kalau begitu, apa tujuanmu kalau kau tidak mahu membeli.” Dia kembali memesin tebunya. Deruman enjin mesin itu sedikit mengganggu komunikasi di antara mereka.

“Aku teringat yang kau bercakap pasal Matahari tadi. Sebab itu aku datang sekali lagi.” Perempuan itu semakin mengelirukan penjual air tebu yang kepenatan. Dahinya berkerut. Lelaki itu cuba memerah ingatannya selari dengan air perahan tebu yang digiling oleh mesinnya.

“Oh, iya...aku cakap matahari panas terik. Tentu kau dahaga bukan?” Lelaki itu tetap melayan kerenah perempuan di depannya walaupun kesabarannya sedikit tergugat.

“Kau kenal Matahari ke?”

“Kenapa kau tanya macam tu? Semua orang kenal matahari. Anak kecil pun kenal matahari. Apa maksud kau?” Aktivitinya terhenti namun enjin mesin tebunya tidak dimatikan. Tuala kecil yang memang tersedia dibahunya disambar dan dia mengelap peluh di dahinya. Dia kemudian, menghampiri perempuan itu tanpa menghiraukan deruman enjin mesin tebunya.

“Iya, anak kecil! Kau kenal anak kecil?!” Wajah perempuan itu berubah cemas. Segera dia memegang dan mencengkam ke dua-dua lengan penjual air tebu itu. Wajahnya memandang tepat ke arah lelaki itu.

“Maksud kau?” Lelaki itu terkejut dan tetap kabur.

“Aku tak bermaksud apa-apa. Aku sekadar bertanya. Salahkah aku bertanya begitu?” Segera wajahnya berubah kembali sayu dan melepaskan lengan lelaki itu.

“Eh, tak salah, tak salah pun. Memang tak salah.” Lelaki itu dapat merasakan yang dia telah mengguris perasaan seorang insan di hadapannya. Dia beristigfar dalam hati. Senyuman ikhlas tidak pernah lekang daripada bibir lelaki itu walaupun tidak berbalas. Perempuan itu mendongak ke langit. Lelaki itu semakin hairan dengan perempuan yang semakin mencurigakan.

Perempuan itu kembali menatap ratusan manusia yang bertebaran di atas muka bumi pasar tani itu. Pandangan yang hambar.
“Boleh aku bantu kau? Macam ada sesuatu yang kau cari?” Lelaki itu mematikan enjin mesin tebunya. Dia mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada perempuan di hadapannya.

“Kau pernah tengok Matahari menangis?” Soalan itu amat memeranjatkan lelaki si penjual air tebu.

“Maksud kau?” Lelaki itu memulangkan soalan bukannya sebuah jawapan seperti yang diharapkan oleh perempuan itu.

“Tak payah layan dia! Perempuan itu sudah gila!” Laungan beberapa pelanggan lain menyebabkan lelaki itu mula mengesyaki ada sesuatu yang tak kena. Tetapi perempuan tua itu tidak pula menunjukkan kelakuan agresif. Malah membiarkan sahaja suara-suara yang memerlinya berlegar-legar di ruang atmosfera desa.

“Kalau Pak Cik layan dia, Pak Cik pun bakal jadi gila!” Laungan suara-suara itu berselang seli dengan taburan hilai tawa. Si penjual air tebu mula rasa bersalah. Dia tidak tahu siapa di pihak yang benar. Sejujurnya dia tidak mengenali perempuan itu. Mungkin ada benarnya suara-suara itu tadi. Dia mula membuat perkiraan.

AWAN yang berarak mendung semakin kelam. Semakin pekat hitam. Jiwanya semakin resah. Berulang kali dia menjenguk ke luar tingkap rumah papan itu. Matanya liar sekali. Raut wajahnya menayangkan sejuta kekalutan. Dahinya berkerut. Dia menghela keluhan beberapa kali. Berat. Kini, dia berdiri di muka pintu pula. Tingkahnya serba tidak kena. Tidak keruan. Fikirannya mula memikirkan yang bukan-bukan. Angannya berlayar jauh sejauh perahu kecil milik suaminya yang sering menongkah arus di lautan biru yang kadangkala bermusuhan dengan ombak deras. Demi sesuap nasi, dia merelakan suaminya bertaruh di medan lautan yang garang. Dentuman guruh yang kuat secara tiba-tiba memecah beraikan lamunan. Dia tersentak. Serentak tangisan anaknya yang baru berusia tiga bulan empat hari kedengaran. Segera dia menghampiri buaian yang tergantung di tengah-tengah rumah itu.

“Kalau kau tak mampu bayar sewa bulanan rumah ni, kau serahkan sahaja anak kau tu pada aku. Kita kira mudah. Selesai hutang. Dan kau duduklah selama mana kau mahu di rumah ni Biah.” Bagaikan mahu luruh jantungnya mendengarkan ayat-ayat yang meniti laju dari dua ulas bibir itu.

“Apa yang Kak Ani cakap ni? Bukan anak yang jadi taruhan. Bukan anak tempat tempias hutang. Saya janji minggu depan saya bayar sewa yang tertunggak tu. Saya cuma minta seminggu sahaja lagi. Jangan buat saya jadi serba salah Kak Ani.”

“Aku bukan nak susahkan kau Biah. Aku nak mudahkan kau! Tapi kau ni degil! Huh, terpulanglah pada kau! Tapi ingat, minggu depan peluang terakhir kau! Kalau tak, Yasmin jadi milik aku!” Ani terus mengangkat punggungnya dan bergegas turun dari beranda rumah itu. Wajahnya bertukar bengis. Sempat dia melempangkan selendang yang panjang dan nipis ke bahunya.

Kunjungan Ani ke rumahnya sebentar tadi masih panas diingatannya. Kata-kata Ani masih bergema. Dia merenung tepat pada wajah suci anaknya yang masih kecil itu. Wajah yang tidak berdosa. Masih belum kenal erti derita. Dia terlalu sayangkan anaknya. Mana mungkin dia berpisah dengan anaknya. Ibu mana yang sanggup berbuat demikian? Tanpa disedarinya air matanya deras sahaja gugur melewati pipinya. Tidak semena-mena hujan mula membasahi bumi. Lebat. Rubiah masih lagi bingung memikirkan kehendak Ani, pemilik rumah yang disewanya setelah berkahwin sejak setahun yang lalu. Mahu sahaja dia segera mengadu pada suaminya. Biar tenang resah di dada. Biar damai jiwa yang bergelora. Biar berlalu kabus sendu. Tetapi suaminya juga masih belum pulang. Bagaikan mati kutu, dia hanya memandang sayu anaknya yang masih menangis dalam buaian itu. Tangisan anaknya semakin kuat dan menjadi-jadi. Dia meraup wajahnya. Mindanya kini sempit. Segera dia tunduk dan mengambil anaknya. Dipeluk anaknya erat. Dibelai anak yang masih kecil itu penuh kasih sayang.

“Usah menangis Matahariku. Ibu ada di sisimu. Ibu yakin kaulah yang akan menyinari hidup kita sekeluarga nanti sayang.” Dalam dakapan hangatnya, anak yang masih kecil itu lena kembali. Sekali lagi dentuman guruh bergema. Kilat sabung menyabung. Di luar, ribut taufan melanda. Menggila. Mengamuk tak tentu hala. Pokok-pokok kelapa yang tinggi lampai menari-nari. Ke kiri dan ke kanan. Bagaikan pesta muda mudi. Seakan berseronok dibelai angin petanda awal musim tengkujuh. Hujan makin mencurah-curah laju menghempas ke bumi.

“Tak payahlah ke laut hari ni abang. Lihat saja kelmarin dulu, hujan bukan main lagi lebat. Cuaca tak menentu bang...”

“Itu kelmarin dulu Biah. Semalam mendung saja bukan? Tak hujan pun. Abang harap hari ni pun tak hujanlah. Lagi pun abang bukannya ke laut dalam. Sekadar di pinggiran sahaja.” Segera pukat yang tersidai pada kayu jemuran di tepi rumah ditarik dan dipikul ke bahu kirinya seraya menyambut huluran bekal rebusan ubi kayu daripada isterinya yang masih tercegat berdiri di atas anak tangga papan beranda rumah itu. Perbualan dengan suaminya pada pagi tadi masih terngiang-ngiang. Bagaikan dirakam perbualan itu. Dia seakan dapat mendengar satu persatu ungkapan kata perbualan mereka, malah tindak tanduk suaminya ketika meninggalkan rumah itu masih terbayang-bayang.

Malam mula membuka tabirnya. Jam sudah menunjukkan pukul 10.30 malam. Hatinya semakin parah menantikan kepulangan suami. Ingin sahaja dia ke pantai menanti kepulangan suaminya. Tetapi memikirkan tidak sanggup meninggalkan anaknya yang masih kecil dalam rumah bersendirian, segera dia membatalkan niatnya itu. Jiwanya sarat dengan doa mohon keselamatan suami tercinta. Akhirnya dia terlena di sisi Amira Yasmin.

SUDAH lima hari berita kehilangan suaminya tersebar luas. Khabarnya, hanya perahu yang dijumpai jauh hampir ke tengah laut. Namun suaminya tidak pula dijumpai. Hati siapa tidak remuk? Jiwa yang mana tidak hancur mendengar begitu nasib suami? Menjadi mangsa amukan ombak. Selama itu jugalah air matanya berkecai ke bumi. Bagai luluh sendi-sendi. Ibarat tidur tidak bermimpi. Pelangi tidak lagi berseri. Matahari tidak panas lagi. Begitu jiwanya kosong. Meruntun, meronta dan merintih. Menghitung pada takdir menimpa. Menghisab nasib diri. Hanya empunya diri yang menanggung cubaan, mengampu derita bersulam air mata. Yang lain bertepuk ria, mengilai tawa. Adilkah dunia?

“Suami kau sudah mati! Siapa lagi yang akan bayar sewa rumah ni? Aku datang sekadar untuk memberi peringatan. Lusa genap seminggu. Aku akan datang lagi menuntut janji!” Ani bertandang ke rumah Biah lagi. Menabur benih lara.

“Kak Ani, tolonglah kasihankan saya. Kalau tidak pun, kasihanilah anak kecil ni. Ke mana hendak saya tuju?” Matanya mula bergenang. Mungkin sekejap lagi manik-manik jernih bakal berguguran.

“Ye, aku memang kasihankan anak kau tu. Kau tak perlu bimbang Biah. Aku akan jaga anak kau seperti menatang minyak yang penuh. Serahkan saja Yasmin padaku.” Nada Ani berubah menjadi lembut.

“Tidak! Sekali-kali tidak untuk menyerahkan Yasmin pada Kak Ani. Dia anak saya! Saya rela berpindah daripada rumah ni!” Kini giliran dia pula yang bertegas. Mana mungkin dia akan menyerahkan Yasmin kepada Ani. Walau apa pun yang terjadi, susah senang, Yasmin tetap akan dijaganya. Bukan Yasmin barang dagangan untuk melangsai hutang! Semudah menghitung 1,2,3! Semudah menyanyi lagu twinkle, twinkle! Jiwanya memberontak keras!

“Aku takkan benarkan kau berambus selagi tak bayar sewa rumah ni Biah! Bayar dulu baru berambus. Kau faham?” Ani separuh menjerit. Hati Rubiah semakin robek. Dia memandang hambar Ani yang menapak laju meninggalkan rumahnya itu. Semakin gelisah menanti hari seterusnya.

MALAM ini dia mahu bermalam di surau, membersihkan diri dan mengulangi ratib syahdu.

“Ya Allah, Subhanallah, tabahkan, tabahkan. Subhanallah temukan, temukan.” Dia akhirnya terlena dalam ratibnya yang panjang. Damailah hati yang celaru sepanjang lena itu. Dia bangkit setelah kedengaran azan dilaungkan. Alangkah terkejutnya dia apabila puluhan pasang mata melihat kepadanya yang terlena di bahagian belakang surau itu. Segera dia bangkit membersihkan diri. Sempat juga dia menjadi makmum dalam solat subuh berjemaah itu.

“Err, orang baru kat sini ke?” Seorang jemaah perempuan yang juga telah lanjut usianya menyapanya sambil tersenyum setelah bacaan doa selesai. Mungkin kerana tidak pernah melihatnya menyebabkan perempuan itu menegurnya.

“Tidak, orang lama.” Segera dia menundukkan wajahnya. Perempuan itu keliru dengan jawapannya.

“Oh, tapi tinggal di mana? Tak pernah nampak pun.” Perempuan itu semakin ramah bertanya.

“Pernah tinggal di sana.” Tidak tahu bagaimana untuk menerangkan. Lantas dia mengunjuk sahaja jarinya.

“Oh, sebelah hulu pantai sana la yer. Sebelah matahari naik. Kalau waktu senja, matahari kelihatan terbenam di sebelah hilir pula.” Perempuan tua itu mengiayakannya sahaja. Malah mencucuk sedikit fakta mengenai terbit dan tenggelam matahari yang tidak ditanya.

“Apa? Jadi, kau pernah tengok Matahari?” Dia segera mendongakkan wajahnya. Wajahnya kini kembali cemas. Warga emas itu menggaru kepalanya. Agak pelik mendengarkan soalan yang seakan-akan tidak masuk akal itu.

“Errr, mestilah.” Perempuan tua itu menjawab walaupun dia sendiri tahu itu jawapan yang berbaur bodoh.

“Bermakna, kau tahu di mana Matahari? Kau pernah tengok Matahari menangis? Tunjukkan! Tunjukkan padaku Matahari!”

“Maksud kau?” Perempuan tua yang sudah berkedut dan berwajah cengkung itu kembali menyoal. Sangsi. Lantas segera melipat telekungnya dan bergegas meninggalkan perempuan di hadapannya yang mengelirukan itu. Terhinjut-hinjut. Rupanya warga emas itu tempang orangnya. Dia memandang penuh sayu dan sekali lagi dia kecewa mencari jawapannya. Dia merintih di dalam hati. Lantas ratibnya dialun lagi. Seiring dengan tangis di jiwa yang terhiris.

“Ya Allah, Subhanallah, tabahkan, tabahkan. Subhanallah temukan, temukan.”

DIA tetap mahu menunaikan janjinya. Dia mahu kembali ke rumah itu. Mencari sesuatu yang telah lama hilang. Menyusuri belukar dan semak samun. Melewati ratusan pokok kelapa yang tinggi menggalah. Sendi-sendinya seakan sudah longgar. Berat untuknya menapak lagi.

Tiba-tiba, “Ya Allah!” Dia terjelepok tersungkur ke tanah. Akar yang menjalar lintang pukang seolah-olah menjerut kakinya. Dengan segala susah payah dia menguatkan dirinya untuk bangkit lagi. Dia mengengsot dan menarik punggungya yang berlabuh di tanah menuju ke sebatang pokok kelapa yang dikelilingi semak samun. Dia bersandar lemah. Namun, dia mahu memanggil kembali semangatnya. Lalu dia meratib dalam hiba. Menyeru dilimpahkan hati yang teguh. Dia mahu seteguh hati ibu nabi Musa tatkala puteranya Musa a.s dihanyutkan ke Sungai Nil. Dia mahu kuat. Sekuat Hawa di saat terpisahnya dengan Adam a.s yang tercampak ke bumi. Dia juga mahu redha. Seredha Maryam yang difitnah mengandungkan Isa yang disangka anak Tuhan oleh golongan yang buta mata hati. Dia mahu tegar! Seutuh iman para wali!

Setiap kali kepenatan menyuntik otot-otot tubuhnya yang sudah tua, dia mengulangi ratib itu. Ratib itu pendorongnya. Ratib itu tulang belakangnya. Ratib itu kekuatannya. Ratib itulah jua teman duka laranya.

“Ya Allah, Subhanallah, tabahkan, tabahkan. Subhanallah temukan, temukan.” Inilah penawar kegalauan jiwanya. Diulangnya tanpa henti. Ulang dan terus diulang hingga kekuatan kembali menghampirinya.

Dia kini sudah berdiri di beranda rumah tinggalan itu. Selepas memberi salam yang tidak dijawab, pintu itu dikuaknya ke tepi.

“Aku datang menuntut jawapan. Kau pernah tengok Matahari menangis? Katakan, katakan apa yang kau saksikan. Apa yang kau tahu tentang Matahari?”

“Maksud kau?”

Perempuan tua itu kini hilang sabar. Segera dia mencabut cermin berdebu yang melekat di dinding itu.

“Tak guna bercakap dengan kau?!” Dia menjerit sekuat hatinya lantas dia membaling cermin itu ke lantai. Berkecai seribu serpihan. Dia terduduk sambil ke dua-dua belah tangannya ditongkatkan ke lantai. Air mata syahdu sekali lagi mengalir laju. Gugur satu persatu.

“Aku tak tahu...aku tak tahu....mana Matahariku? Aku terlalu rindu...kembalilah Matahariku...” Dalam esak tangis dia merayu lagi dalam ratibnya.

“Ya Allah, Subhanallah, tabahkan, tabahkan. Subhanallah temukan, temukan.” Tiba-tiba tangisan anak kecil menerobos masuk ke dalam gegendang telinganya. Kuat. Semakin kuat tangisan itu. Dia mengangkat wajahnya perlahan-lahan. Segera dia menyeka air mata yang masih mahu terbit dari kelopak matanya yang sudah berkedut dan layu itu. Dia segera bangkit berdiri dan bergegas mendekati buaian. Hampa lagi. Dia mengamatinya sekali lagi. Tangisan itu berpunca daripada dalam bilik tidur. Dia lantas menguak daun pintu bilik itu. Gopoh melangkah menghampiri katil. Dia kecewa lagi. Tiada anak kecil di situ. Wajahnya disembamkan ke tilam. Tangisannya pula yang bergema. Akhirnya dia terlena dalam keletihan yang masih berhati walang.

HALIM tersentak apabila sekujur tubuh berada di atas katilnya. Dia beristighfar beberapa kali sambil mengurut dadanya. Rubiah turut terjaga apabila terdengar pintu bilik itu dikuak.

“Kau!” Mereka saling menuding jari ke arah yang bertentangan.
“Apa kau buat kat sini?” Rubiah separuh menjerit. Lelaki itu terkebil-kebil.

“Apa pula kau buat kat sini?” Lelaki itu pula yang bertanya.

“Siapa kau sebenarnya? Berani kau datang ke sini?” Rubiah tidak menjawab soalan itu malah mengembalikan soalan lagi.

“Dan siapa pula kau? Kau pun berani datang ke sini? Ini tempat aku!” Lelaki itu semakin bingung.

“Hah! Jadi kau tinggal di sini?” Rubiah teramat terkejut. Dia bingkas bangun dari katil itu. Tidak disangkanya lelaki si penjual air tebu yang ditemuinya di pasar tani semalam tinggal di rumah usang itu. Mereka bersoal jawab panjang. Masing-masing tidak berpuas hati.

RUBIAH masih dalam biliknya. Menunaikan solat zohor. Dia bersyukur kerana anaknya tidak menangis semasa dia menunaikan solat. Dia berdoa panjang memohon kekuatan dan ketabahan hati. Dia nekad untuk membayar hutang sewa rumah itu. Dia sudah menjual loket tinggalan arwah ibunya kepada Kak Eton semalam. Walaupun tidak setara nilai wang diperoleh dengan nilai loket itu namun dia tetap berterima kasih kepada Kak Eton kerana sudi membeli loketnya. Dia mahu membayar hutang itu. Selepas berdoa, dia membuka uncang yang diselit di bawah tilamnya. Dia membilang beberapa kali. Dia tersenyum puas dan lega. Duit itu cukup untuk membayar sewa rumahnya yang tertunggak. Hatinya tiba-tiba teringatkan suaminya yang hilang di lautan. Matanya kembali bergenang memikirkan nasib yang menimpa suaminya.

Dia akan menunggu kedatangan Kak Ani petang ini untuk melangsaikan hutang. Segera uncang itu diselitkan kembali di bawah tilam. Dia keluar mahu menjenguk Yasmin dalam buaian. Bagaikan terkena renjatan elektrik. Dia kaku seketika. Panik. Matanya buas.

“Mana anakku? Matahariku!” Dia menjerit-jerit sambil berlari-lari dalam rumah itu mencari anak kecilnya yang secara tiba-tiba ghaib dari buaian. Dia teringatkan sesuatu. Sewaktu dia menunaikan solat tadi, dia ada terdengar pintu rumah dikuak. Disangkanya angin yang menolak. Sangkaannya meleset sama sekali.

“Ini kerja Kak Ani! Dia bawa lari anak aku! Matahariku!” Dia berlari-lari bagai orang gila menuju ke rumah Kak Ani yang terletak jauh dari rumahnya. Dia tidak peduli. Dia mahu ke rumah Kak Ani mencari Yasmin. Rumahnya yang jauh dari kediaman orang lain memaksanya menyusur semak samun yang berliku-liku mengikut denai-denai kecil yang selalu dilaluinya.

“Kak Ani dah pindah Biah! Katanya dia tak pulang lagi ke kampung ni. Baru je tengahari tadi. Kami pun tak tahu mana dia nak pindah! Suaminya dah dapat kerja kat bandar. Khabarnya jadi pegawai kilang di bandar besar! Kau tak tahu ke?” Kak Esah menyatakannya bersungguh-sungguh. Terkebil biji mata Rubiah mendengarkan penjelasan itu. Dia terduduk dan rebah ke bumi. Longlai segala isi hati. Semenjak hari itu, dia tidak lagi mahu tinggal di rumah yang malang itu. Dia mahu ke mana-mana sahaja mencari Mataharinya!

Pernah dia jadi pengemis jalanan. Pernah juga dia menjadi tukang sapu di bandar metropolitan. Hidupnya berpindah randah. Dia ada misi. Dia mahukan Yasmin! Ramai yang menganggap dia sudah gila dengan bertanyakan soalan yang sama.

“Kau kenal Matahari? Kau pernah tengok matahari menangis?” Hanya itu yang dia mampu ingat. Iya, sekadar itu dia ada maklumat. Selebihnya dia tidak ingat. Jika orang mengembalikan soalannya “Siapa matahari?”, Rubiah hanya mampu menangis. Tidak tahu bagaimana harus diceritakan. Terlalu pedih untuk diingat kembali. Dia tidak ingat semuanya!

“Jadi, kau Rubiah! Rubiah binti Kasim! Anak arwah Pak Kasim Hitam yang pernah bela kambing berbulu lebat!” Tiba-tiba Halim bersuara keras setelah mendengar cerita daripada Rubiah.

“Iya, aku Rubiah! Jadi aku pemilik rumah ini!” Rubiah mahu menegakkan haknya.

“Biah, pandang padaku! Lihat wajahku! Aku suamimu! Aku tak mati! Aku masih hidup Biah! Aku tak mati! Orang kampung ditipu oleh keluarga Kak Ani. Kononnya aku dah mati. Sedangkan itu rekaan semata-mata. Aku diselamatkan oleh orang pulau sebelah sana! Aku Halim Mamat! Halim Mamat! Suami kau Biah!” Rubiah tersentak mendengarnya. Dia merenung jauh ke dalam anak mata kuyu lelaki yang sudah berumur banyak itu di depannya. Cuba mengutip wajah-wajah suaminya yang telah lama terpisah cuba dicantumkan. Dia mencari sesuatu. Sesuatu yang boleh mengesahkan itu adalah suaminya. Dia terpandang pada tahi lalat hidup di atas cuping telinga kiri lelaki itu. Ternyata tahi lalat itu masih hidup dan segar di situ. Dia lantas menerkam dan memeluk suaminya yang disangkanya telah mati. Dalam sendu yang teramat dia memanjatkan kesyukuran. Begitu juga Halim, dia melafazkan kalimah Alhamdulillah beberapa kali.

“Wajah abang banyak berubah.” Rubiah bernada lemah.

“Biah pun...kita dah tua kan?” Halim ketawa kecil. Geli hati kerana masing-masing hampir tidak mengenali di antara satu sama lain. Rubiah akhirnya tersenyum. Inilah senyuman pertama yang berjaya terbit setelah sekian lama dia tidak tersenyum. Halim mampu membuatkan dia tersenyum kembali!

“Setiap malam di sini syurgaku. Dia menunjukkan ke bilik tidur usang itu. Di sinilah kumeratib dan menyeru pada Tuhan. Memohon Biah kembali pada abang....” Sungguh terharu Rubiah mendengar luahan itu. Air mata sekali lagi bercucuran.

“SILAKAN masuk.” Halim mempelawa Rubiah masuk ke sebuah rumah banglo dua tingkat.

“Err, tak apalah abang. Cukup di luar sahaja.” Rubiah teragak-agak. Dia segan sebenarnya untuk menjejakkan kaki ke rumah sebesar dan semewah itu. Halim tidak pula memaksanya. Dibiarkan Rubiah sendirian di luar rumah itu. Rubiah masih terkebil-kebil. Tidak mengerti mengapa Halim membawanya ke rumah itu. Dia tidak diberitahu oleh suaminya untuk berjumpa dengan siapa. Sekejap sahaja seorang perempuan muda keluar dengan tergesa-gesa beriringan dengan Halim.

Rubiah dan perempuan muda itu saling berpandangan.

“Ini ibu Min?” Yasmin bertanya dalam ragu pada ayahnya. Halim hanya mengangguk beberapa kali dengan sebuah senyuman yang cukup indah. Sekelip mata Yasmin terduduk. Melutut di kaki Rubiah.

“Ibu.........Min anak ibu....” Yasmin tidak dapat mengawal perasaannya itu. Tangisannya menjadi-jadi. Rubiah segera memegang bahu anaknya yang sekian lama terpisah. Yasmin kini berdiri longlai.

“Matahariku....anakku..anakku...i..ibu..ibumu...iya ini ibumu. Ibu rindu tangisanmu...” Rubiah semakin beremosi. Dia memeluk Yasmin erat dalam dakapannya. Sekian lama terpisah, akhirnya mereka disatukan dalam rahmat yang Maha Agung. Halim turut menitiskan air matanya.

“Halim! Halim!” Jeritan itu mengejutkan Halim yang sedang menjemur pukat di jemuran.

“Kak Ani!” Halim tersentak apabila terpandang seraut wajah yang telah lama tidak kelihatan. Kak Ani berkunjung ke rumahnya setelah hampir dua tahun meninggalkan desa itu.

“Halim....Ampunkan Kak Ani, ampunkan Kak Ani! Kak Ani bertaubat! Ampunkan Kak Ani!” Ani melutut di kaki Halim. Halim yang masih bingung segera mengangkat Ani.

Setelah mendengar penjelasan Kak Ani, hampir pengsan Halim dibuatnya. Dia beristighfar beberapa kali.

“Jadi, ini anak saya?” Ani hanya mengangguk lemah. Halim segera memangku anak kecil yang berusia dua tahun lebih itu. Dipeluknya dalam tangisan. Dia sangat bersyukur pada Tuhan yang mengembalikan anaknya ke pangkuannya.

Berita tentang kemalangan maut yang menimpa suami Kak Ani membuatkan Halim turut bersimpati. Apatah lagi Kak Ani kini juga menderita penyakit kanser otak pada tahap kritikal.

“Kak Ani sedar. Kak Ani minta ampun pada kau Halim. Inilah pembalasan yang Kak Ani terima.”

Semenjak hari itu, dia sendiri yang menjaga anaknya. Menunggu dan terus menunggu kepulangan Rubiah tanpa jemu dan bosan. Akhirnya hari ini mereka disatukan jua. Mereka sudah berada dalam ruang tamu rumah mewah itu. Yasmin masih di pangkuan ibunya. Tidak puas dia memeluk ibunya. Begitu juga Rubiah.

“Jadi, di mana Kak Ani?” Soalan itu menyedarkan lamunan Halim. Rubiah masih membelai manja rambut Yasmin yang masih lagi tersedu sedan.

“Dah kembali ke rahmatullah seminggu setelah Yasmin diserahkan pada abang Biah.” Halim menuturkannya biarpun terasa kelat.

“Innalillahiwainna Ilaihiro Jiun.” Rubiah masih bersimpati terhadap Kak Ani. Segera dia mengeluarkan uncang lama dan dihulurkan pada Halim.

“Apa ini?” Halim segera mencapai dan membuka uncang itu. Beberapa keping duit kertas lama dikeluarkan. Halim terkejut.

“Duit ini Biah simpan untuk membayar sewa rumah kita dulu. Tapi tidak berkesempatan untuk membayarnya.” Serta merta ingatannya kembali mengimbau detik kehilangan Yasmin. Tangan Yasmin segera diramas. Kemas. Dia tidak mahu berpisah lagi. Halim menahan sebak. Begitu pergorbanan Biah. Dia terharu.

“Rumah sewa yang mana? Rumah ni Min dah habis bayar pun ibu. Tak perlu bayar sewa lagi. Ibu tinggal di sini bersama ayah dan Min. Ibu jangan pergi lagi. Ibu...” Yasmin bangkit dan segera mencium pipi ibunya. Dalam sendu dia menangis lagi.

Rubiah hanya menggangguk beberapa kali. Yasmin kini bergelar seorang arkitek, sudah memiliki rumah sendiri. Halim juga tinggal di rumah mewah ini. Cuma di waktu malam dia tidur di teratak usang demi menanti kepulangan Rubiah.

“Mulai hari ini, ayah terikat pada janji!” Yasmin bersuara keras tiba-tiba.

“Min, apa yang ayah janji pada Min?” Halim keliru. Dia menggaru kepalanya.

“Ayah tidak dibenarkan menjual air tebu lagi. Duduk di rumah jaga ibu sahaja. Yasmin tak beri kelonggaran lagi untuk menjual air tebu ok?” Yasmin merengek manja pula pada ayahnya.

Halim hampir tergelak mendengar kata-kata Yasmin. Barulah dia teringat, sejak dari dulu lagi Yasmin tidak benarkan dia bekerja keras kerana Yasmin mampu menyara dirinya. Tak perlu bersusah payah. Hanya dia yang degil, rimas duduk di rumah tanpa melakukan sebarang kerja. Dia pernah berjanji untuk berhenti menjual air tebu setelah bertemu kembali dengan Rubiah. Itu janjinya pada Yasmin suatu masa dulu.

Rubiah yang masih tidak faham, berkerut beberapa kali. Mereka ketawa lagi. Rubiah sungguh bahagia hari ini. Dia memeluk anaknya sekali lagi. Dengan lembut dan perlahan dua ulas bibir tuanya mengalunkan bait-bait mulia.

“Ya Allah, Subhanallah, Alhamdulillah, ratibku akhirnya kau makbulkan. Matahariku kau temukan. Suamiku kini di pangkuan. Dan aku tetap dengan janjiku. Nyawaku tetap milikMu.”

“Ibu!!!!” Yasmin menjerit kuat. Halim tersentak. Rubiah terjelepok di lantai terlepas daripada pelukan rindu anaknya.

Rubiah kini menghadap Ilahi. Doanya Tuhan makbulkan, janjinya jadi gadaian.

“Ya Allah ya Tuhanku. Hidup ini penuh dugaan. Dugaan yang memilukan, menyakitkan dan merobekkan. Aku, Kau uji demi meraih cintaMu. Aku pasrah dan redha. Tuhanku, aku sedar. Hidup yang diuji sebenarnya tetap indah. Tersangat indah dengan puji-pujian dan ratib padaMu. Yang aku pinta satukan anak dan suami di bawah lembayung rahmat kasihmu. Di suatu masa kumohon ketemu jua. Dan nyawaku sebagai balasannya. Aku rela.” Itulah janji Rubiah pada Tuhan yang membalas segala permintaanNya. Dia akhirnya menghirup nafas terakhir setelah semua derita di hujung garisan. Setelah permintaan Tuhan makbulkan.

No comments: