Saturday, November 14, 2009

Tampi Juang - Puisi

Tamsilan beras dan antah,
Tampi biar terasing,
Kutampik yang helah,
Biar lelah terengah-engah,
Tak mengapa,
Andai titik keringat berderai,
Hisablah dengan senyuman,
Biar ketara gelap dan cerah,
Bukan kekeliruan antara dua.

Kutampi lagi,
Antara juang dan adat,
Selagi hitam tedas masih jerambai,
Pada talian lena,
Terikat dalam mimpi,
Aku tak mahu,
Andai merdeka sekadar laungan,
Adat menanti detik,
Sehari sebelum Ogos berakhir,
Juangnya bahang menggila,
Juangnya hambar di kabus 1 September,
Juangnya bertempiaran pada 31 Oktober,
Juangnya malap di pertengahan November,
Juangnya padam di senja Disember,
Aku mahu,
Juangnya hidup sentiasa,
Terbit di fajar bilahan hari-hari,
Tak terbenam di ufuk esok lusa,
Biarlah gah di hati juang bangsa,
Tak mati sampai bila-bila,
Bukannya adat bermusim,
Pasang dan surut.

Aku jeran pada tipu daya,
Anasir keparat jadi raja,
Tuan melutut di tanah bonda,
Si jahanam bertakhta,
Emas perak milik siapa?
Bumi dipijak bara terasa.

Cukuplah,
Biar sejarah jadi teladan,
Biar darah jadi wangian,
Tak mahu kuulang tangisan,
Aku mahu bebas,
Bukan seperti ikan dalam jeramak,
Biarlah seperti helang,
Raja di udara,
Tuan di samudera,
Dewa di belantara.

Masih kutampi,
Antara semangat dan cinta,
Bimbang celau bersisa,
Padaku semangat itu roh,
Bersemadi dalam jasad bahtera,
Kemudi ke destinasi cinta,
Pelabuhan merdeka tamadun kita.

Tampian terakhir,
Kuratib rasa syukur,
Tak nampak beda cela,
Suci beras dalam badang,
Inilah makanan pusaka,
Akan kusuap ke mulut watan,
Biar kenyang di pangkal jiwa,
Kita anak merdeka,
Biarlah sifar dari alpa,
Tampilah juang,
Seperti beras yang dijulang,
Atas badang renungan,
Jalinan buluh keinsafan.

Oleh: Siti Nor Santi
(Ogos 2009)

No comments: