Sunday, November 15, 2009

Karma Pawana - Cerpen

SURIA mula memancarkan kehangatan sinarnya. Kuntuman bunga masing-masing membuka lembayung kelopak. Damai sekali. Kelihatan si warna warni terbang ke sana sini. Ceria sungguh mereka di pagi hari. Masing-masing dengan tujuan tersendiri. Ada yang hinggap di bunga-bunga. Ada yang singgah di ranting-ranting kering. Ada yang terbang sambil makan angin. Ada yang bersiul menyanyi keriangan. Jauh di sebelah barat daya sana yang bersudut 225 darjah, ada sebatang anak sungai yang sederhana dalam airnya. Jernih berkaca. Terdapat batu-batu besar berpadu dengan akar-akar pokok yang panjang dan kasar di sekitar Belantara Damar, menjadi dinding penahan kepada tebing sungai itu. Batu-batu kecil juga banyak. Berselerakan di dalam sungai. Ada juga batu yang besar berlabuh dalam sungai itu. Separuh dipermukaan, separuh tenggelam. Kuntum dan Atan bersantai di atas permukaan batu besar di tengah-tengah sungai itu. Ralit memerhatikan anaknya yang sedang bermain dengan kawan-kawan yang lain dalam air sungai yang sejuk tidak jauh dari tempat mereka bersantai.

“Abang, Kuntum rasa sudah tiba masanya untuk kita berterus terang. Kuntum bimbang....” Kuntum meluahkan kekusutan yang makin bersarang di hati. Atan faham benar sifat semulajadi isterinya itu. Mudah resah dan gelisah. Cepat cemas tak tentu arah. Mungkin itulah naluri kewanitaan isterinya. Naluri seorang ibu. Bukan sekali luahan itu diucapkan oleh isterinya, malah sudah berpuluh-puluh kali. Sejujurnya, dia juga turut merasai tempias kebimbangan itu. Tetapi tidak sanggup rasanya untuk berterus terang. Terlalu berat baginya untuk dilafazkan biarpun sebuah kenyataan.



“Kuntum, sabarlah dulu. Lagipun Karma tu masih kecil. Budak lagi. Belum faham apa-apa. Yang dia tahu hanyalah mencari keseronokan. Sanggupkah untuk kita menghancurkan keseronokannya?” Suaminya cuba untuk menenangkan kegalauan jiwa isteri tercinta. Menyuntik sedikit kekuatan. Kuntum hanya terdiam. Dia tunduk membatu. Ada benar apa yang dikatakan oleh suaminya. Sebetulnya, sebagai ibu mana mungkin dia sanggup untuk melenyapkan keseronokan anak kesayangannya. Tetapi hatinya tetap juga resah. Karma tidak seperti anak kecil yang lain. Dia cepat membesar.

“Abang, lebih baik Karma tahu sekarang. Kuntum bimbang lama-kelamaan dia tidak dapat menerima kenyataan!” Kuntum bersuara setelah sekian lama mendiamkan diri.

“Kuntum, Karma satu-satunya harta yang paling berharga yang kita ada. Abang tak nak dia rasa rendah diri pula nanti!” Kuntum mengeluh lagi, satu keluhan yang berat dilepaskan setelah mendengar kata-kata daripada suaminya.

“Ibu! Ayah!” Kuntum dan Atan tersentak. Sekelip mata air sungai itu memercik ke muka mereka. Karma yang secara tiba-tiba muncul dari dalam sungai itu merenjiskan air ke muka ibu dan ayahnya. Sepantas kilat dia berenang laju menuju ke tempat kawan-kawannya semula. Kuntum dan Atan tergelak kecil. Sedetik dia terlupa pada keresahannya melihat Karma dalam keseronokan. Karma memang suka bermain air. Karma pandai berenang.

“Hati-hati nak!”Kuntum sempat berpesan kepada Karma. Sayup-sayup suara itu didengar Karma. Karma sempat berpaling dan tersenyum.

Atan melingkarkan tangannya ke bahu Kuntum. Segera Kuntum merapatkan kepalanya ke bahu Atan. Walaupun bimbang masih bersarang, namun Kuntum tetap bahagia memiliki Karma. Begitu juga dengan Atan. Kasihnya pada Karma tidak pernah luak walaupun sedikit. Malah, semakin hari semakin berputik rasa sayang itu. Cuma perasaan bimbang yang kini masih menghantui mereka. Mereka tidak dapat menduga reaksi Karma seandainya dia mengetahui kisah sebenar. Kuntum tidak sanggup melihat Karma kecewa mahupun terluka. Kalau boleh dia mahu merahsiakan semua itu daripada pengetahuan Karma. Biarlah rahsia buat selama-lamanya. Tetapi dia tidak boleh merahsiakannya. Lambat laun Karma tahu juga. Buntu dia memikirkannya.

“Kalaulah diri ini terdaya, akan kubelah matahari menjadi dua. Akan kuletakkan satu di sebelah barat, satu di sebelah timur. Biar siang serentak, tidak berpenghujung. Biar malam tidak berkunjung. Agar masa tidak bergerak. Dan usia tidak berganjak. Pintaku biarlah bahagia ini berpanjangan.” Atan menghayati bait-bait penuh tersirat yang meniti merdu dan syahdu daripada bibir isterinya. Dia terharu. Seraya air mata jernih bercucuran gugur dari kelopak mata isterinya.

“Sayang....jangan berkata begitu. Kita serahkan segalanya pada Tuhan. InsyaAllah bahagia milik kita yang abadi.” Segera dia menyeka air mata isterinya. Atan memeluk isterinya erat. Biar tenang resah yang beraja di jiwa isterinya. Biar beredar rasukan yang mencucuk dada.

SAAT berganjak minit. Siang menanti malam. Hari kian bertambah. Bulan silih berganti. Yang tetap, resah dan bimbang belum menipis. Sedar tidak sedar, Karma sudah meningkat umurnya. Tabiatnya mula berubah seiring usianya. Kalau dahulu Karma gemar bermain dalam air, kini dia lebih senang menghabiskan masa bersama kawan-kawan di darat pula. Kuntum dan Atan tidak pula menghalang. Malah dia memahami kehendak anak kesayangannya itu. Bagai menatang minyak yang penuh, Karma diberi segala kebebasan. Persis anak emas, Karma dijaga penuh kasih sayang.

“Hei, kenapa badan kau semakin gemuk? Montel sangat! Banyak lemaklah tu! Dahlah berkerutu!” Usikan Rumia kepada Karma sungguh memalukan. Karma sedar, sejak akhir-akhir ini badannya semakin berisi. Malah seakan mengalami sakit kulit. Kulitnya berkerutu! Dia menyedari hakikat itu. Tetapi, dia tidak mahu ambil peduli semua itu kerana perubahan fizikal dirinya tidak pun mengganggu kesihatannya. Dia tidak pernah demam walaupun sekali dalam hidupnya. Dia menganggap itu semua takdir untuk dirinya. Pada mulanya dia tidak kisah, namun setelah sering diejek oleh kawan-kawan dia mula rasa canggung dan janggal. Dia kini mula memikirkan kelemahan dirinya. Dia tidak suka diejek mahupun diperlekeh oleh kawan-kawannya. Apatah lagi Rumia, seorang gadis yang berperwatakan lemah lembut sendiri pun sudah pandai menghinanya.

Karma menghampiri sekumpulan kawan-kawannya yang sedang berkumpul tidak jauh dari sebuah padang dekat kolam terbiar yang dipenuhi lumpur. Karma mahu bermain dengan mereka seperti biasa.

“Hei! Budak lelaki hodoh! Pergi main jauh-jauh!” Alangkah terkejut Karma mendengarkan kata-kata seumpama itu daripada kawannya sendiri. Tajam sekali suara itu menerobos masuk ke hatinya. Ah, hati Karma terguris luka!

“Aku mahu bermain dengan kamu semua. Seperti selalu.” Karma masih mencuba.

“Kami baru berbincang. Mulai hari ini, kau tak boleh bermain dengan kami lagi! Pergi jauh-jauh! Kau budak hodoh! Kau cacat!” Kata-kata Rumia itu disambut dengan hilai tawa sesama mereka. Tetapi tidak bagi Karma. Di situ juga air matanya gugur. Mengertilah kini, dia rupanya cacat! Cacat yang hina! Badan berkerutu persis kulit buaya! Mungkinkah tubuhnya mengalami ketumbuhan yang sangat bahaya! Kenapa sekarang baru ketara! Kenapa tidak sejak kecil lagi! Persoalan demi persoalan membebani akal fikirannya. Tidak terungkai, malah semakin berselirat. Sarat!

“Hei, tak payah menagih simpati kami! Berambus si kerutu!” Sekali lagi hilai tawa berderai. Ada yang tergolek-golek ketawa. Pada mereka terlalu geli hati melihat si kerutu menangis di depan mereka. Salah seorang daripada mereka bergegas ke kolam berlumpur. Sekejap sahaja lumpur itu dicampak ke arah Karma. Habis badannya dicemari lumpur yang kotor itu. Mereka ketawa terbahak-bahak.

Jeritan berupa kata-kata menghina itu masih lagi bernanah di mindanya. Semenjak perubahan fizikal tubuhnya itu juga, ramai kawan-kawan yang tidak mahu lagi bermain bersama dengannya di padang. Karma mula rasa tersisih daripada kelompok kawan-kawannya. Biarpun mereka berkawan sejak kecil lagi, namun disebabkan perubahan fizikal dirinya yang hodoh dan dianggap menjijikkan, mereka tidak suka berdampingan dengan Karma lagi. Karma sangat berkecil hati. Dia menangis semahu-mahunya. Biarlah luluh ego kejantanannya. Dia tidak peduli! Jiwanya robek sungguh!

“Ibu.......ibu......” Setibanya di rumah Karma memanggil-manggil ibunya dalam tangisan yang teresak-esak. Serta merta ibunya muncul di sebalik batu besar yang terletak berhampiran dengan sungai itu. Memang mereka sekeluarga menetap berhampiran dengan sungai. Ada batu yang cukup besar berhampiran dengan rumahnya. Malah teratak kediaman mereka dibina di sebalik batu yang besar itu. Sungguh harmoni.

“Kenapa anakku? Ish...comot anakku! Kenapa berlumpur sebegini? Kenapa menangis ni? Karma sakit ke?!” Kuntum resah membelek-belek setiap inci tubuh anaknya. Bertubi-tubi soalan yang tersembur daripada mulutnya. Laju. Bimbang sungguh hatinya kalau-kalau Karma sakit. Pertanyaan ibunya dibiarkan kosong tak berjawab.

“Kenapa Karma?” Ibunya semakin gusar. Wajahnya berkerut-kerut. Tidak memahami kenapa Karma menangis dan badannya sarat lumpur.

“Ibu.....” Karma memanggil ibunya dalam nada syahdu. Lantas mereka berpelukan. Kuntum mendakap erat anaknya. Dia tahu anaknya diburu kesedihan, kalau tidak manakan Karma menangis.

“Katakan apa sebenarnya anakku. Ibu setia di sisimu.” Ibunya cuba memujuk agar Karma membuka mulut menceritakan perihal yang berlaku.

“Karma cacatkah ibu?” Kuntum tersentak. Dia menelan air liurnya dalam payah. Matanya buntang, membulat. Inilah saat paling genting dalam hidupnya. Untuk berkata jujur dan benar adalah sesuatu yang menyakitkan! Di mana Atan pada saat begini. Dia memerlukan suntikan kekuatan daripada suaminya. Dia tidak gah menanggung resah ini sendiri. Bagaimana harus dilafazkan. Selembut-lembut bicara? Seindah-indah bahasa? Semanis-manis bait kata? Ah! Dia tidak petah untuk berkata pada saat sebegini. Dia kelu kini. Persis bisu! Mulut terkunci rapat. Seolah-olah takkan ternganga lagi.

“Dah tiba masanya wahai anakku. Mudiklah ke hulu esok pagi. Susurlah tujuh batang anak sungai yang berasingan. Redahlah tiga buah belukar. Tika malam mendatang, jadikan buruj kompasmu. Ikutlah telunjuk si biduk. Menuju sebelah timur. Tika siang menjelang, ikutlah arah terbit matahari. Carilah Wilayah Cendana, jajahan kuasa Andani dan Andana dalam sebuah gua. Kelak di sana kau akan temui. Segala rahsia terbongkar nanti.” Ayahnya yang secara tiba-tiba muncul mengejutkannya. Apatah lagi Kuntum, sungguh amat memilukan hatinya mendengarkan kata-kata itu. Ini bermakna detik perpisahan semakin hampir dan amat dekat. Inilah yang menjadi barah dalam resahnya sekian lama. Tangisan Karma terhenti. Terlerai pelukan ibunya. Dia berkerut beberapa kali. Masih sukar untuk difahami. Dia belum mengerti maksud tersembunyi.

“Ambillah...” Karma masih teragak-agak untuk mengambil kalung bertatah zamrud itu. Kilauan memancar. Huluran ayahnya masih tidak bersambut. Masih terpegun melihat kecantikan kalung itu. Karma belum pernah melihatnya sebelum ini.

“Karma, anakku, ambillah kalung zamrud ini. Serahkan pada Andani dan Andana. Kelak terbuka hijab rahsia.” Ibunya cuba meyakinkan Karma. Ibunya mengangguk beberapa kali ketika bertentang mata dengan Karma. Karma akhirnya mengambil kalung zamrud itu. Kalung itu sudah bertukar tangan kini.

“Benar kata ibumu wahai anakku. Kalung ini kalung pusaka. Serahkan pada Andani dan Andana. Kelak kau tahu segala-galanya.” Ayahnya segera mengusap rambut Karma sambil sebelah lagi tangannya memegang erat lengan si anak. Mengertilah Karma, kalung itu bukan sebarang kalung. Kalung itu tinggi darjatnya hinggakan dapat membongkar segala hijab rahsia. Rahsia apa? Karma masih belum ketemu jawapannya. Segera kalung itu dimasukkan ke dalam uncang kulit usang lalu diikat dipinggangnya kemas-kemas.

BAGAIKAN dua tubuh terpatri utuh. Sukar dan payah untuk dipisahkan. Pelukan itu sungguh kemas dan ketat. Rasanya tak mahu dilepaskan dakapan si ibu. Begitu juga si ayah. Silih berganti mereka berpelukan. Sekejap memeluk ibu dan sekejap memeluk ayah. Ah! Karma tak mahu kalah pada perasaan sedih itu. Perlahan-lahan dia melepaskan pelukan ibunya. Air mata ibunya yang tumpah semakin deras dan laju. Bak air terjun Niagara yang terletak 27 km di barat daya Buffalo, New York, 120 km di selatan Toronto, Ontario di antara bandar berkembar Niagara Falls, Ontario dan Niagara Falls, New York. Ah, Karma sendiri belum pernah ke sana! Tanpa berpaling Karma nekad menyusun langkah. Menyusur anak sungai yang berbatu bata. Pedoman ayahnya masih di benak.

“Jangan sampai tersesat dan berhati-hatilah selalu anakku! Musuh ketatmu ular menjalar. Harus waspada. Andai sudah ketemu kebenaran, jangan lupakan ayahmu di sini.” Itulah pesan terakhir si ayah. Mana mungkin Karma lupakan ayahnya yang amat baik budi.

“Kalau Karma rindu pada ibu, ukirlah senyum dalam perjalananmu wahai anakku. Doa ibu sentiasa mengiringi derap-derap langkahmu.” Pesan terakhir ibunya menambahkan momentum pergerakan air matanya. Ah! Karma cukup beremosi setiap kali mendengar bait-bait indah bahasa ibunya. Cukup menyentuh jiwanya setiap kali ibu berbicara. Ibunya penyayang sungguh! Kasih ibu dalam sungguh!

LAMA dia memejamkan matanya. Sayu redup wajahnya. Desiran angin yang menghembus perlahan membuatkan dedaun kering itu berterbangan. Zarah debu-debu turut berterbangan. Karma tersandar pada sebatang pokok yang tinggi bak galah demi melepaskan lelah. Sudah sehari suntuk dia menjelajah, merentas sungai dan belantara. Lena seketika di ufuk senja.

“Syyysss...” Karma terjaga. Bunyi itu mengganggu lenanya. Karma membuka kelopak matanya.

“Syyysss...syyyyssss...” Bunyi itu semakin rancak.

“Ular!!!” Karma menjerit kuat. Seekor ulang tedung sudah membuka kelopak bisanya. Betul-betul di depan matanya. Menjelir-jelirkan lidah bercabang! Tanpa berfikir panjang Karma membuka langkah seribu. Tidak menoleh lagi. Berlari sekuat kudrat kurniaan Ilahi. Entah berapa jauh, ular senduk itu ditinggalkan. Nasib menyebelahi Karma. Kalau tidak, dia akan menjadi santapan si ular berbisa itu. Nafasnya tercungap-cungap. Keletihan. Karma tetap mahu meneruskan perjalanan. Malam sudah tiba. Dia mendongak ke langit. Mencari bintang buruj.

“Itulah pedoman tika malam.” Kata-kata ayahnya segera menerjah di minda. Fikirannya kembali pada ayah dan ibunya. Pilu lagi. Beberapa titis air mata yang gagal dipertahankan jatuh juga. Lantas teringat kata ibu pula.

“Kalau rindu pada ibu, ukirlah senyum dalam perjalananmu.” Karma lantas menyeka air matanya. Agak payah dia menegangkan otot-otot mukanya ke tepi kiri dan kanan. Akhirnya sebuah senyuman terukir juga demi rindunya pada ibu, dalam kesedihan yang masih bersisa.

TIGA purnama sudah berlalu. Tujuh buah sungai dan tiga belantara sudah ditempuhinya. Dia kini berdiri di depan pintu gua yang cukup besar. Mungkin inilah wilayah Cendana, jajahan kuasa Andani dan Andana! Karma membuat andaian. Dia memandang sekeliling. Tidak ada seorang pun yang berada di situ. Sepi.

“Tangkap dia! Tangkap dia!” Karma tersentak. Sekelip mata Karma dikepung. Bukan Karma tidak mahu melawan. Dia kaget saat terpandang wajah-wajah yang mengepungnya. Dua orang tentera menggari tangannya. Itupun Karma tidak melawan. Dibiarkan sahaja tangannya digari. Karma tidak panik. Tetapi Karma bingung! Mindanya berpusing-pusing. Masih tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Adakah matanya menipu! Ah! Tidak mungkin mereka cacat sepertiku!

“Serahkan si pelesit ini pada Baginda Andana! Sejak dari tadi lagi hamba memerhatikan gerak gerinya! Dia mungkin berniat jahat ke atas Wilayah Cendana yang kita cintai! Lekas!” Arahan dari seorang lelaki yang bersuara keras itu dipatuhi lelaki yang menggari tangannya. Rupanya, tingkah laku Karma sebentar tadi telah lama diperhatikan oleh mata-mata Wilayah Cendana, dan mengertilah Karma bahawa di sini dia akan bersua dengan Andana sepertimana perintah ayahnya. Karma diheret kasar dengan tangannya bergari di belakang punggungnya. Karma akur. Dia tak mahu melawan. Mindanya masih ligat memikirkan.

“Kenapa mereka mirip sepertiku! Berkerutu!” Soalan itu mengusik mindanya.

“Cepat sikit berjalan! Terhegeh-hegeh!” Karma diherdik. Rupanya langkahya sumbang kerana sarat dengan berfikir. Segera dia melangkah laju. Diheret bagai hamba abdi melewati lorong-lorong gua yang gelap. Mereka kini tiba di Balairung Seri Wilayah Cendana. Karma dapat melihat sepasang raja dan permaisuri bersemayam di atas singgahsana.

“Ah! Aku tak percaya! Kenapa semua orang sama sepertiku!” Karma separuh menjerit. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihat dengan mata kepalanya sendiri. Bahkan raja dan permaisuri juga mirip dengannya.

“Diamlah bodoh! Ini istana! Jangan buat Raja Andana dan Permaisuri Andani kami murka!” Karma diherdik lagi. Mereka terus berjalan menghadap raja.

“Ampun Tuanku. Budak ini patik tangkap sewaktu berjaga di gerbang Cendana tadi! Tingkahnya membawa curiga! Mungkin berniat durjana!” Petah sungguh lelaki yang berlagak bagai ketua mata-mata itu bersuara di hadapan raja pujaan mereka.

“Siapa tuan hamba? Dari mana asalnya? Apa tujuan tuan hamba? Berikan penjelasan kepada beta.” Raja Andana menyoal Karma. Tidak segarang yang disangka. Lembut sahaja bersuara. Karma kagum dengan kelembutan raja itu. Permaisuri hanya berdiam diri di sebelah raja. Permaisuri ralit melihat ke arahnya. Karma memberanikan diri. Lantas bersuara juga.

“Ampunkan patik, Tuanku. Patik, Karma Pawana dari seberang hutan Belantara Damar.”

“Karma Pawana? Belantara Damar?” Serentak Raja Andana dan Permaisuri Andani bertanya. Seakan tidak percaya dengan apa yang didengarnya. Karma tunduk memberi penghormatan. Permaisuri Andani bingkas bangun dan berdiri sambil memegang bahu Raja Andana.

“Kanda...” Tergambar keresahan di wajah Permaisuri Andani.

“Bertenang dulu adinda. Bertenang.” Raja Andana tahu gelora di jiwa permaisurinya.

“Buka gari Karma Pawana!” Raja Andana bertitah. Rakus si mata-mata itu menurut perintah. Barulah Karma sedikit lega setelah garinya dibuka.

“Teruskan Karma Pawana, teruskan berbicara. Beta mahu mendengarnya.” Sungguh lembut bicara Raja Andana terhadapnya.

“Patik datang bersama hajat yang dikirim ayah dan ibu patik dari kampung halaman Belantara Damar sana.” Segera dia menarik uncang dan mengeluarkan kalung zamrud yang dibawanya.

“Ini pemberian daripada ayah dan ibu patik kepada Tuanku berdua.” Karma melutut sambil menghulurkan kalung itu. Raja Andana segera turun dari singgahsananya menghampiri Karma. Begitu juga dengan Permaisuri Andani. Kalung itu diambil oleh Raja Andana. Ditelitinya kalung itu. Bersilih ganti ke tangan Permaisuri Andani.

“Ayahmu Atan Dahana bukan? Ibumu Kuntum Seroja. Benarkah wahai Karma Pawana?” Permaisuri Andani menyoal.

“Benar Tuanku! Benar sekali!” Lantas Permaisuri Andani memeluk Karma. Dia meraung hiba.

“Anakanda! Ini bondamu! Ini bondamu!” Karma terpinga-pinga. Dia membiarkan sahaja Permaisuri Andani memeluknya. Puluhan si mata-mata turut terlopong, ternganga.

Kalung itu darjat kebesaran di raja. Atan Dahana dan Kuntum Seroja adalah keluarga angkat sahaja. Ayahanda dan bondanya terpaksa melepaskan Karma dalam jagaan mereka. Pada ketika itu Karma masih berudu. Bimbang keselamatan Karma tergugat sekiranya dibawa berhijrah jauh meredah tujuh buah sungai pada ketika itu kerana bah besar melanda. Jadi ayahanda dan bondanya bersama rakyat jelata sahaja yang berpindah kerana mahu membina empayar sendiri. Atan dan Kuntum sanggup menjaga Karma kebetulan mereka tidak mempunyai anak. Kalung ini diserahkan kepada mereka bersama-sama Karma sebagai bukti kebesaran Karma keturunan di raja.

“Syukurlah anakanda dah kembali. Ayahanda dan bonda amat merinduimu.”

“Dulu, anakanda fikir anakanda cacat.” Karma sempat berseloroh dengan bondanya Permaisuri Andani pada suatu petang ketika bersantap sambil bercerita tentang kisah hidup yang dilaluinya bersama keluarga angkatnya yang berketurunan Katak Pisang. Raja Andana yang sama-sama bersantap tergelak besar mendengarkan kata-kata Putera Karma Pawana.

“Hahaha! Anakanda tidak cacat! Tidak sama sekali! Inilah keturunan kita. Katak Puru dan bukannya Katak Pisang. Inilah hakikat kejadian kita berkerutu wahai anakanda. Bukannya kelemahan malah ini kurniaan. Anakanda adalah Putera Katak Puru yang tabah! Mulai hari ini ayahanda serahkan Wilayah Cendana di bawah kekuasaan anakanda!” Karma hampir menitiskan air mata mendengarkan kata-kata ayahandanya. Rupanya, inilah rahsia yang sekian lama terhijab. Tiba-tiba rasa rindu kembali menyelubungi hatinya. Ah! Karma merindui ayah dan ibunya di Belantara Damar! Iya, ayah dan ibu angkatnya yang sangat mulia. Berketurunan Katak Pisang. Mereka tidak pernah menghina Karma sekalipun Karma berketurunan Katak Puru yang kerutu, malah disayangi sepenuh hati. Buat Karma Pawana Si Katak Puru, pengajaran ini paling bermakna dalam hidupnya. Setiap kejadian yang Tuhan cipta bukannya sia-sia mahupun hina. Tuhan mahu menguji sejauh mana kesabaran hamba-hambaNya. Bersyukurlah dengan nikmat pemberianNya, nescaya akan ditambahi ganjarannya. Nah, saksikan.

“Terima kasih ayah dan ibu. Suatu masa akan kujejak jua halaman tercinta. Aku rindu ira sentuhanmu!” Karma bersuara di dalam hati. Air matanya gugur lagi. Lantas wajah Rumia teman sepermainannya pula menjelma. Mungkinkah Rumia sudah berpunya?

~TAMAT~

Oleh: Siti Nor Santi

No comments: